58 ahli perniagaan China mahu teroka peluang pelaburan AS$15 bilion

58 ahli perniagaan China mahu teroka peluang pelaburan AS$15 bilion

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 58 ahli perniagaan dari China menyatakan hasrat untuk meneroka peluang pelaburan bernilai kira-kira AS$15 bilion (RM61.05 bilion) melalui enam bidang berpotensi di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, enam bidang itu adalah elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor, bahan industri khusus dan kejuruteraan berketapan, ekonomi digital dan infrastruktur teknologi, pemprosesan makanan dan produk halal, teknologi kesihatan dan pelancongan.

Jelasnya, Malaysia menjadi pilihan pelabur berkenaan kerana dilihat mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelaburan, selain keyakinan mereka terhadap negara ini yang semakin meningkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebahagian besar daripada mereka saya kenali dan mereka kini lebih yakin dengan negara kita. Mereka memilih Malaysia kerana mengetahui negara ini mempunyai potensi yang besar dari segi pelaburan.

“Selepas ini, saya akan mengadakan sesi padanan perniagaan antara delegasi berkenaan dengan rakan niaga berpotensi di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kerjasama Malaysia-China dalam Pelaburan, Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi di Pavilion Hotel, di sini hari ini.

Bagi separuh pertama 2026, Malaysia merekodkan kira-kira AS$53.5 bilion pelaburan diluluskan melibatkan 2,746 projek yang berpotensi mewujudkan lebih 99,000 peluang pekerjaan. China menyumbang kira-kira AS$4 bilion daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam tempoh sama.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, nilai perdagangan dua hala mencapai kira-kira AS$126.8 bilion pada 2025 dan pertemuan hari ini memberi peluang untuk memperluas kerjasama dalam pelaburan, perdagangan, pembangunan industri dan pemindahan teknologi.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha menarik pelabur dari China ke Samalaju iaitu sebuah hab industri di Bintulu, Sarawak, khususnya dalam industri pengeluaran produk aluminium dan tenaga hijau sedang giat diusahakan bagi membuka peluang pertumbuhan ekonomi baharu kepada negeri itu.

Jelasnya, pelaburan yang dirancang bukan sahaja membabitkan pembinaan kilang pembuatan produk aluminium, malah merangkumi pembangunan tenaga hijau bagi membekalkan tenaga elektrik kepada operasi kilang berkenaan.

Beliau berkata, produk aluminium yang dihasilkan kelak disasarkan untuk pasaran antarabangsa memandangkan pasaran domestik Malaysia terlalu kecil untuk menampung kapasiti pengeluaran industri berkenaan.

“Saya sebenarnya telah lama mengusahakan supaya mereka (China) melabur di Samalaju, Bintulu, Sarawak dalam pengeluaran produk aluminium untuk pasaran antarabangsa.

“Pasaran Malaysia terlalu kecil. Mereka bukan sahaja akan melabur dalam kilang pembuatan, tetapi juga tenaga hijau bagi membekalkan tenaga elektrik kepada kilang berkenaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pelaburan berkenaan diyakini mampu memberikan manfaat besar kepada Sarawak khususnya daripada segi pembangunan industri, aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan.

Katanya, beliau turut membincangkan cadangan pelaburan itu dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta beberapa menteri dari negeri berkenaan bagi memastikan usaha membawa masuk pelaburan tersebut dapat direalisasikan di Samalaju. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini