KUALA LUMPUR: Sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik disasarkan untuk dibina menjelang tahun 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sasaran tersebut sebagai sebahagian daripada aspirasi negara untuk membina satu juta unit rumah dalam tempoh sedekad akan datang.
Katanya, sasaran itu juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan industri pembinaan negara memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya dalam menangani keperluan perumahan.
“Sebagai contoh, di bawah RMK13, kita menetapkan sasaran untuk menyediakan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030.
“Ia sebagai sebahagian daripada aspirasi lebih besar negara untuk membina satu juta unit rumah bagi tempoh 2026 hingga 2035,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini semalam.
Dalam pada itu Anwar berkata, kemajuan teknologi perlu dimanfaatkan bagi mempercepatkan penyediaan rumah tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kualiti dan keselesaan kediaman.
“Teknologi kini perlu membantu kita menyediakan rumah dengan lebih cekap tanpa mengabaikan aspek keselamatan, kualiti dan keselesaan, malah kos juga perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan mengekalkan proses tender yang kompetitif, sambil menyatakan bahawa tadbir urus yang telus mampu membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu dan melaksanakan lebih banyak projek untuk kepentingan rakyat.
Anwar berkata, aspek ketelusan yang lebih tinggi serta pematuhan terhadap prinsip tadbir urus baik membolehkan kerajaan membina lebih banyak kemudahan dan menyediakan bantuan yang lebih besar tanpa membebankan sektor awam dengan kos berlebihan.
Beliau dalam masa yang sama turut mengingatkan agar pembangunan berskala besar tidak dilaksanakan semata-mata untuk mengejar kemajuan fizikal sehingga mengabaikan keperluan sebenar rakyat.
“Transformasi industri pembinaan negara akhirnya perlu diterjemahkan kepada manfaat yang nyata kepada rakyat, khususnya dalam penyediaan rumah mampu milik.
“Jika tidak, jurang antara projek mega dan bangunan berskala besar dengan keperluan serta kebajikan majoriti rakyat akan terus wujud,” katanya.
Anwar memberi amaran bahawa pembangunan yang hanya mengutamakan infrastruktur fizikal dan pertumbuhan ekonomi, tetapi mengetepikan keperluan masyarakat, boleh mengakibatkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat. – UTUSAN











