Zila Bakarin kecewa, sifatkan hadiah Kilauan Emas Selebriti tidak setimpal - Utusan Malaysia

Zila Bakarin kecewa, sifatkan hadiah Kilauan Emas Selebriti tidak setimpal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Awak rasa saya tak kecil hati?”

Demikian respon Zila Bakarin yang merasakan sedikit terkilan dengan hadiah yang ditawarkan dalam program realiti Kilauan Emas Selebriti yang berlangsung di MBSA, semalam.

Zila mendakwa hadiah yang diberikan tidak setimpal buat semua peserta yang selama sepuluh minggu bertungkus lumus menjayakan program berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya diberitahu hadianya umrah, tiba-tiba penghujungnya tiada. Cuma dapat percutian, saya ingat pergi Paris, tapi bukan.

“Selepas itu dapat trofi dan emas yang mana saya tak tahu berapa gram. Saya agak terkejut. Kilauan Emas Sebelum ini pemenang dapat hadiah wang tunai yang nilainya besar, tetapi kali ini?

“Memang ini program amal. Tapi pandangan peribadi saya, kami, kesepuluh peserta ini juga perlu mendapat hasilnya. Tambah pula ada antara kami yang ketika ini tidak berlakon.

“Kami bergelut selama lapan minggu. Penat, duit minyak, makan minum, tinggal anak, masa, tidur tak cukup, ibadah entah ke mana. Banyak benda yang kami korbankan,” katanya.

Zila dalam pada itu memaklumkan dia enggan berselindung dan mengambil pendekatan untuk meluahkan kekecewaan yang terbuku dalam hati.

“Saya ini orangnya berterus terang, tak suka, katakan tak suka. Buat apa nak berselindung, cakap belakang. Saya tak tahu pandangan peserta lain, tapi saya lantang bersuara,” jelasnya.

Menurutnya lagi, malah kesemua peserta perlu mengeluarkan peruntukan sendiri, lebih-lebih lagi untuk kerja-kerja mempromosikan program berkenaan.

“Ketika awal Kilauan Emas Selebriti dahulu, pelbagai program telah disusun atur penganjur untuk mempromosikan rancangan ini. Masa yang kami peruntukan pun tidak dibayar.

“Malah kami keluarkan modal sendiri. Mungkin ada antara kami ada pendapatan sana dan sini, tapi fikirkanlah kami yang tak ada kerja ini.

“Mengenangkan apa yang kita dapat, saya rasa sedikit bersedih hati. Jangan cakap kerana program ini adalah program amal. Tiga minggu saya dah dahulukan duit saya. Takkanlah di penghujungnya, kerja amal juga,” kongsinya.

Zila berkata dia sekadar berbekalkan semangat yang diberikan Allah, keluarga dan peminat yang selama 10 minggu untuk dia meneruskan langkah sehingga ke peringkat akhir program berkenaan.

“Saya bukan peserta ‘favorite’. Saya sangka akan tersingkir di minggu ke enam. Tapi saya rasa saya boleh teruskan.

“Setiap minggu saya pasang niat, buat kerana Allah, keluarga dan peminat yang bersusah payah menyokong saya. Itu sahaja. Alhamdulillah saya lolos ke peringkat akhir,” kongsinya lagi.

Kilauan Emas Selebriti yang berlangsung di MBSA semalam menyaksikan Datuk Jalaludin Hassan diangkat sebagai juara sekali gus melayakkan beliau memenangi sebuah trofi sumbangan Astro, single daripada Rocketfuel Entertainment,
emas edisi khas tajaan Jus Arabic Gold, hamper tajaan Jus Arabic Gold bernilai RM800 dan tajaan pakej penginapan 3 hari 2 malam di Grand Mercure Kuala Lumpur Bukit Bintang.

Naib juara disandang Datuk Ahmad Tarmimi Sarigar, 76, yang membawa pulang trofi sumbangan Astro, single daripada Rocketfuel Entertainment, emas edisi khas tajaan Jus Arabic Gold, hamper tajaan Jus Arabic Gold bernilai RM600 dan tajaan pakej penginapan 2 hari 1 malam di Grand Mercure Kuala Lumpur Bukit Bintang.

Zila meraih tempat ketiga, membawa pulang Sebuah trofi sumbangan Astro, emas edisi khas dan hamper tajaan Jus Arabic Gold, dan tajaan pakej penginapan 2 hari 1 malam di Grand Mercure Kuala Lumpur Bukit Bintang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN