Yunazri tidak sangka berdepan Ab. Rauf

Yunazri tidak sangka berdepan Ab. Rauf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Calon Pakatan Harapan (PH), Yunazri Mustamiri tidak menyangka beliau akan dicalonkan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini selepas sebelum ini membuat persiapan untuk bertanding di DUN Lendu.

Yunazri berkata, beliau hanya mendapat maklumat mengenai pertukarannya ke Tanjung Bidara kira-kira tiga hingga empat minggu lalu, sekali gus menyaksikannya berdepan satu lawan satu dengan penyandang yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Menurutnya, perubahan itu menyebabkan beliau perlu menyesuaikan gerak kerja kempen di kawasan baharu, namun jentera yang selama ini bersamanya masih terus memberikan sokongan dalam menghadapi pilihan raya tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sama sekali tidak menyangka akan bertanding melawan Ketua Menteri. Sebelum ini saya dan jentera sudah membuat tapak dan membuat persiapan di Lendu.

“Berdepan dengan Ab. Rauf bukan tugas yang mudah dan saya selaku calon baharu cuba bersaing dengan kelebihan segalanya milik calon BN itu,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon (PPC) sempena PRN Melaka di Dewan Datuk Kapt. (B) Haji Ab. Karim, Japerun Tanjung Bidara di sini hari ini.

Yunazri yang juga Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Masjid Tanah bakal membuat penampilan sulungnya sebagai calon pilihan raya dan mengakui dirinya sebagai calon underdog dalam pertarungan di kubu kuat BN itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak gentar untuk berdepan Ab. Rauf, sebaliknya mahu berusaha bersungguh-sungguh bagi menawarkan pilihan kepada pengundi di Tanjung Bidara.

“Alhamdulillah, untuk persiapan, jentera saya masih lagi bersama dengan saya. Untuk perasaan gentar, saya rasa tidak ada perasaan gentar setakat ini.

“Sokongan daripada Presiden dan Pengerusi PH dan pimpinan-pimpinan juga agak kuat untuk membantu saya berkempen di Tanjung Bidara,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mempunyai impian untuk muncul sebagai ‘giant killer’ dengan menewaskan Ab. Rauf, Yunazri berkata, segala kemungkinan tetap terbuka dalam pilihan raya dan keputusan akhirnya bergantung kepada pilihan rakyat.

“Insya-Allah, rezeki kita tidak tahu. Hati juga milik Tuhan, kita tidak tahu. Jadi, kita cuma berusaha sahaja,” katanya.

Yunazri berkata, beliau juga melihat pencalonannya sebagai peluang kepada golongan muda untuk tampil menawarkan diri dalam arena politik.

Menurutnya, walaupun beliau merupakan anak jati DUN Kuala Linggi yang terletak bersebelahan dengan Tanjung Bidara, pencalonannya di kawasan itu dipercayai mengambil kira faktor beliau sebagai calon muda.

“Saya sebenarnya anak jati DUN Kuala Linggi, sebelah sahaja daripada DUN Tanjung Bidara ini. Kenapa saya diletakkan di Tanjung Bidara? Mungkin sebab saya calon muda. Itulah yang saya rasa,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini