WYF galak kecemerlangan SPM, perluas peluang pendidikan melalui TVET

WYF galak kecemerlangan SPM, perluas peluang pendidikan melalui TVET

Mohd Ridhwan Mohd Ali (empat dari kanan) bersama-sama kira-kira 1,200 pelajar dan ibu bapa di Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana SPM 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Yayasan Belia Dunia (WYF) menyeru calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persediaan peperiksaan bagi mencapai keputusan cemerlang, sekali gus membuka lebih banyak peluang melanjutkan pengajian dan membina kerjaya pada masa depan.

Pada masa sama, yayasan itu turut komited membantu pelajar yang berdepan cabaran akademik untuk meneruskan pendidikan melalui pelbagai laluan, termasuk bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), supaya potensi dan masa depan mereka terus mendapat perhatian.

Pengerusinya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, setiap pelajar mempunyai tahap kemampuan, kecenderungan dan kelebihan tersendiri, justeru usaha membantu mereka perlu mengambil kira keperluan serta potensi individu tanpa mengetepikan kepentingan kecemerlangan akademik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, WYF melalui program Lead & School yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan sejak dua tahun lalu memberi tumpuan kepada pelajar yang memerlukan sokongan tambahan dalam pembelajaran dan pembangunan diri.

Katanya, inisiatif itu turut membuka ruang kepada pelajar yang mungkin tidak memperoleh keputusan peperiksaan seperti diharapkan untuk meneroka bidang kemahiran dan latihan teknikal sebagai laluan meneruskan pengajian.

“Bagi program berkaitan pendidikan, kami memberikan fokus kepada anak-anak yang mungkin bergelut dalam pelajaran dan tidak memperoleh keputusan seperti yang diharapkan.

“Kita akan cuba menghubungkan mereka dengan agensi berkaitan TVET supaya ada laluan kedua untuk anak-anak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana SPM 2026 bagi sekolah-sekolah dalam Parlimen Hang Tuah Jaya di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil.

Lebih 1,200 pelajar bersama ibu bapa hadir di program ini.

Mohd Ridhwan berkata, pendidikan bukan hanya tertumpu kepada satu laluan semata-mata, sebaliknya pelajar perlu diberikan pendedahan mengenai pelbagai bidang pengajian yang bersesuaian dengan minat dan kebolehan masing-masing.

Sehubungan itu, katanya, WYF bersedia memainkan peranan sebagai penghubung antara pelajar yang memerlukan bantuan dengan agensi berkaitan TVET bagi membolehkan mereka mendapatkan maklumat dan meneroka peluang pengajian yang tersedia.

Usaha berkenaan juga diharap dapat membantu pelajar membuat pilihan pendidikan yang lebih bersesuaian dengan kemampuan dan kecenderungan masing-masing, seterusnya membina asas untuk masa depan kerjaya mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Ridhwan menasihatkan calon SPM 2026 supaya terus berusaha dan tidak mudah berputus asa meskipun tempoh persediaan menjelang peperiksaan semakin singkat.

Beliau berkata, setiap calon perlu menggunakan masa yang masih berbaki dengan sebaik mungkin, selain mendapatkan bimbingan guru dan sokongan ibu bapa bagi meningkatkan keyakinan diri menghadapi peperiksaan.

“Jangan membandingkan pencapaian diri dengan orang lain kerana setiap pelajar mempunyai kelebihan dan kemampuan yang berbeza.

“Usaha berterusan dan keyakinan diri penting untuk membantu mencapai keputusan terbaik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya sentiasa mendapatkan restu ibu bapa dan guru, selain mengekalkan disiplin serta memberikan komitmen terhadap pelajaran.

Menurutnya, sokongan keluarga dan warga pendidik juga memainkan peranan penting dalam membantu pelajar menghadapi tekanan peperiksaan serta membina keyakinan terhadap kemampuan diri.

Sementara itu, Mohd Ridhwan turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap aktiviti anak-anak dalam persekitaran digital, khususnya penggunaan media sosial dan permainan dalam talian.

Katanya, pemantauan berterusan amat penting bagi memastikan anak-anak tidak terdedah kepada kandungan negatif atau berinteraksi dengan individu yang boleh mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku mereka.

Menurutnya, ibu bapa bukan sahaja perlu mengetahui tempoh masa yang dihabiskan anak-anak menggunakan peranti digital, malah memahami jenis kandungan yang diakses serta individu yang berhubung dengan mereka melalui platform dalam talian.

“Bukan semua yang kita lihat itu sesuai dengan masyarakat kita. Ibu bapa perlu mengambil tahu apa yang dilalui anak-anak, termasuk dengan siapa mereka berkomunikasi secara dalam talian.

“Jangan sampai kita lambat memberikan nasihat sehingga anak-anak terjebak dalam perkara yang tidak baik,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak supaya sebarang masalah atau pengaruh negatif dapat dikenal pasti lebih awal.

Dalam konteks persediaan menghadapi SPM, perhatian ibu bapa terhadap kesejahteraan emosi, disiplin pembelajaran dan aktiviti digital anak-anak juga penting bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk mereka memberikan tumpuan kepada peperiksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini