Wujudkan universiti awam di pantai timur Sabah

Wujudkan universiti awam di pantai timur Sabah

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempertimbangkan pembinaan sebuah universiti awam baharu di Tawau bagi memperluas akses pendidikan tinggi kepada anak muda di Pantai Timur Sabah, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kemudahan pendidikan tinggi yang terhad menyebabkan ramai pelajar dari Sabah terpaksa melanjutkan pengajian ke Sarawak atau Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, kos perjalanan dan perbelanjaan sepanjang pengajian jauh dari kampung halaman boleh membebankan keluarga, sekali gus menjejaskan peluang anak-anak mereka melanjutkan pelajaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berharap kerajaan dapat mewujudkan sebuah universiti sama ada dalam masa terdekat atau tahun depan di kawasan Pantai Timur, di Tawau.

“Bukan saya minta untuk Semporna, tetapi untuk menampung keperluan anak-anak dari Pantai Timur kerana kita sudah ada Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Shafie membangkitkan masalah pengangkutan pelajar sekolah di Sabah yang terpaksa berjalan kaki untuk pulang ke rumah berikutan kekurangan kemudahan pengangkutan awam.

Katanya, beliau baru-baru ini membeli empat bas untuk kegunaan empat sekolah menengah bagi membantu pelajar yang berdepan masalah berkenaan.

“Tiada pengangkutan awam yang sempurna di Sabah. Kadang-kadang, pukul 6 atau 7 malam ketika sudah masuk waktu Maghrib, barulah mereka sampai ke rumah,” katanya.

Beliau berkata, isu itu perlu diberi perhatian bagi memastikan pelajar, terutama di kawasan luar bandar, mendapat kemudahan pengangkutan yang mencukupi untuk meneruskan persekolahan.

Selain pendidikan, Shafie turut menggesa lebih ramai doktor tempatan dilahirkan menerusi institusi pengajian tinggi di Sabah dan Sarawak bagi menangani kekurangan tenaga profesional kesihatan di kedua-dua negeri.

Katanya, usaha itu perlu disertai peluasan latihan kepakaran dalam bidang yang masih kekurangan tenaga profesional bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja dari luar.

Beliau turut menyokong penubuhan fakulti pergigian di universiti di Sabah atau Sarawak bagi menambah bilangan tenaga profesional dalam bidang berkenaan.

“Melahirkan lebih ramai doktor tempatan melalui institusi pengajian tinggi di Sabah, termasuk memperluas latihan dalam bidang kepakaran yang masih kekurangan tenaga profesional, perlu diberi perhatian,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini