Waze mungkin diharamkan sepenuhnya - PM

Waze mungkin diharamkan sepenuhnya – PM

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan kerajaan akan mengharamkan sepenuhnya penggunaan aplikasi navigasi Waze sekiranya alternatif tempatan mempunyai keupayaan mencukupi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

Beliau berkata, kerajaan memahami kontroversi yang timbul susulan keputusan berkaitan larangan penggunaan Waze, khususnya berhubung kelemahan alternatif tempatan yang tersedia ketika ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Itu kita kena study (kaji) apa alternatifnya. Kalau sudah esok kita tengok keupayaan kita cukup baik maka kita mungkin menentukan kemungkinan untuk mengharamkan sama sekali.

“Kontroversinya kerana lembabnya alternatif. Saya setuju tetapi keputusan kita bukan kontroversi. Ini soal keselamatan negara,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana, Ampang, di sini hari ini.

Semalam, Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyifatkan aplikasi tempatan TuJu sebagai ‘memalukan negara’ kerana gagal berfungsi dengan baik dan menyusahkan rakyat.

Ia susulan larangan terhadap penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel berkuat kuasa serta-merta.

Arahan itu dibuat menerusi pemakluman rasmi oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 20 Oktober lalu susulan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Anwar berkata, tindakan terhadap Waze dibuat selepas maklumat berhubung lokasi ibu pejabat serta perjanjian penggunaan aplikasi itu disemak dalam mesyuarat JKSN berkenaan.

Jelasnya, semakan itu mendapati ibu pejabat Waze berpangkalan di Israel, manakala perjanjian penggunaannya tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan.

“Sebab kalau sudah gunakan Waze, maknanya secara automatik menyerahkan semua maklumat kepada Israel. Jadi kita jangan buat silap itu.

“Itu yang menyebabkan mengapa saya ambil tindakan yang agak spontan. Saya kata hendak tangguh satu hari pun tak boleh,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan negara hanya kerana alternatif tempatan belum mempunyai kemudahan yang lengkap.

Beliau berkata, pengguna boleh beralih kepada aplikasi lain yang berpangkalan di Malaysia walaupun keupayaannya belum secanggih Waze, sementara penambahbaikan dilakukan.

“Lebih baik selamat daripada serahkan maklumat kerahsiaan negeri, peribadi saudara dan negara kepada Israel. Itu yang penting difahami,” katanya.

Mengulas kritikan keputusan itu dibuat secara terburu-buru, Anwar berkata, beliau memahami kesulitan yang mungkin dihadapi pengguna namun keselamatan negara perlu diutamakan.

“Walaupun saya tahu saya dikritik, dikecam kerana terburu-buru dan gopoh. Saya kata tak apalah, kalau agak menyusahkan beberapa orang, saya minta maaf. Tetapi bagi saya, keselamatan negara lebih penting.

“Walaupun saya tahu TuJu itu ada kelemahan. Gunalah yang lain-lain tetapi sabarlah kejap carilah jalan, jauh sikit tidak apalah. Daripada serah maklumat kepada Israel,” katanya.

Berhubung gesaan DAP supaya keputusan larangan penggunaan Waze disemak semula, Anwar berkata, perkara itu telah dijelaskan semasa mesyuarat Jemaah Menteri Kabinet.

Beliau berkata, pimpinan DAP yang hadir ketika penjelasan itu diberikan, termasuk Pengerusi Kebangsaan parti itu, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook bersetuju dengan pendirian berkenaan.

“Apakah sanggup kita serah maklumat kita kepada undang-undang Israel? Itu soal dia. Kalau nak serah maklumat kerajaan, saya tak benarkan sama sekali,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini