SEPANG: Seorang wanita tempatan berusia 19 tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal dan sebuah kereta di Jalan Sepang – Salak di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100 bertembung dengan sebuah motosikal lain sebelum tercampak dan digilis sebuah kereta dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa dari arah Sungai Pelek ke Nilai bertembung dengan motosikal lain yang bergerak secara melawan arus.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak dan jatuh di lorong kanan sebelum digilis Proton Saga Iswara yang ketika itu sedang bergerak di laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan.
Norhizam berkata, mangsa bekerja di ladang penternakan lembu di kawasan Sepang dan tidak memiliki lesen memandu yang sah.
“Penunggang motosikal lain berusia 30-an pula mengalami kecederaan pada bahagian muka dan dibawa ambulans Klinik Kesihatan Salak ke Hospital Cyberjaya untuk mendapatkan rawatan.
“Penunggang motosikal itu adalah seorang lelaki warga India yang bekerja sebagai tukang masak di kedai makan dan tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya.
Katanya, kes berkenaan disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat semasa kejadian berlaku diminta menghubungi atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-5588221 atau 03-8777426. – UTUSAN











