PETALING JAYA: Dua anggota Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa siasatan berhubung video tular yang membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dijalankan secara telus, bebas dan segera.
Menurut firma guaman Kamal Hisham & Associates yang mewakili kedua-dua anggota berpangkat Lans Koperal itu berkata, anak guam mereka didakwa diserang secara fizikal ketika sedang menjalankan tugas rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Menurut firma guaman itu, siasatan perlu dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan segala fakta dan bukti berkaitan kejadian dapat diteliti secara adil.
“Anak guam kami didakwa diserang secara fizikal oleh Datuk Seri Mohd Shuhaily ketika kedua-duanya sedang menjalankan tugasan rasmi.
“Insiden yang didakwa berlaku di tempat awam itu menyebabkan kedua-dua anggota berkenaan mengalami kecederaan selain menjejaskan maruah mereka sebagai penjawat awam yang sedang menjalankan tugas rasmi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, firma berkenaan menegaskan AKPS bukan sebahagian daripada PDRM dan kedua-dua agensi berkenaan mempunyai fungsi serta bidang kuasa yang berbeza.
Menurutnya, terdapat kenyataan melalui media sosial dan saluran rasmi selepas kejadian yang memberikan gambaran berbeza daripada keadaan sebenar yang berlaku, menurut dakwaan anak guam mereka.
“Kami berpandangan bahawa sebarang kenyataan awam berhubung perkara yang masih dalam siasatan hendaklah dibuat dengan penuh tanggungjawab dan tidak seharusnya menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa,”jelasnya.
Kamal Hisham & Associates turut menafikan sebarang gambaran bahawa anak guam mereka bertindak sebagai ‘ulat’ atau terlibat dalam sebarang aktiviti ‘counter setting’.
Menurut firma itu, sebarang dakwaan sedemikian hendaklah disokong dengan bukti dan tidak seharusnya digunakan untuk mengalihkan perhatian daripada isu utama, iaitu dakwaan berhubung penggunaan kekerasan terhadap kedua-dua anggota berkenaan.
Dari sudut undang-undang, firma berkenaan berkata tindakan yang didakwa berlaku berpotensi melibatkan peruntukan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan berkaitan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan berkaitan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Bagaimanapun, kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh serta menentukan kesalahan yang, jika ada, berdasarkan bukti dan fakta yang diperoleh,”ujarnya.
Dalam pada itu, firma berkenaan menyeru semua pihak supaya mengelakkan sebarang kenyataan awam yang boleh menjejaskan atau mempengaruhi proses siasatan.
Katanya, hak, keselamatan serta maruah kedua-dua anggota berkenaan sebagai anggota PDRM yang sedang menjalankan tugas rasmi perlu terus dilindungi.
“Kami memandang serius sebarang dakwaan penggunaan kekerasan terhadap penjawat awam, khususnya ketika mereka sedang melaksanakan tugas rasmi.
“Masyarakat juga diminta supaya tidak membuat sebarang kesimpulan berdasarkan naratif yang belum disahkan dan menyerahkan proses siasatan kepada pihak berkuasa,”jelasnya.
Menurut firma itu, kegagalan menangani dakwaan sedemikian secara sewajarnya berpotensi memberikan persepsi yang salah kepada masyarakat bahawa penggunaan kekerasan terhadap penjawat awam boleh diterima atau dibiarkan.
“Kedua-dua anak guam kami turut menegaskan bahawa mereka sedang menjalankan tugas rasmi pada ketika kejadian dan berhak mendapat perlindungan serta keadilan di sisi undang-undang.
“Tiada sesiapa pun, tanpa mengira pangkat atau kedudukan, harus diletakkan di atas undang-undang atau dibenarkan menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” katanya.-UTUSAN











