Usia bukan penentu tunggal jangka hayat aset tentera

Usia bukan penentu tunggal jangka hayat aset tentera

Mohamed Khaled Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penentuan sama ada aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah mencapai atau melepasi jangka hayatnya tidak dibuat berdasarkan usia semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira keperluan operasi dan tahap keselamatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penilaian itu merangkumi teknikal, keusangan teknologi, kos kitar hayat, kebolehsenggaraan dan ketersediaan aset pengganti.

Katanya, ATM memiliki Dasar Kasting ATM bagi menentukan jangka hayat aset, selain menggunakan mekanisme perlanjutan hayat perkhidmatan (SLEP), penggantian aset baharu atau penamatan perkhidmatan bagi aset yang mencapai atau melepasi jangka hayat.

“SLEP akan dipertimbangkan jika aset masih relevan, memiliki nilai operasi, boleh dipulihkan atau dinaik taraf dengan selamat serta kos perlanjutannya munasabah berbanding perolehan aset baharu.

“Pertimbangan ini dibuat melalui Analisis Kos dan Faedah serta Analisis Pihak Berkepentingan dengan mengambil kira kemampuan peruntukan kewangan dan keperluan operasi.

“Kerja naik taraf melalui penggantian peralatan usang juga boleh dilaksanakan bagi mengekalkan kesiapsiagaan dan kesinambungan operasi sesuatu aset, selaras perkembangan teknologi pertahanan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai dasar dan mekanisme menentukan sama ada operasi aset yang sudah mencapai atau melepasi jangka hayat asal diteruskan melalui SLEP atau diganti dengan aset baharu.

Mohamed Khaled berkata, kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) misalnya akan menjalani kerja naik taraf pertengahan hayat (MLU) ketika Refit Kedua yang akan bermula dalam tempoh terdekat.

Katanya, aset strategik itu sudah menghampiri separuh jangka hayat dan berdepan isu keusangan beberapa peralatan, sekali gus memerlukan kerja penggantian serta naik taraf bagi memastikan keupayaannya kekal relevan.

“Tempoh refit dipilih sebagai masa yang sesuai kerana pelaksanaan MLU memerlukan tempoh henti operasi yang panjang.

“Sebaliknya, mekanisme penggantian akan dipertimbangkan jika aset tidak lagi memenuhi keperluan operasi, risiko keselamatannya tidak dapat diurus atau kos penyelenggaraan dan perlanjutan hayatnya tidak lagi ekonomik.

“Bagi TLDM khususnya, keputusan ini turut mengambil kira pelaksanaan Program Transformasi 15-to-5, bagi menyelaraskan penamatan aset lama dengan kemasukan aset baharu untuk memastikan kesinambungan keupayaan armada,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini