Unit K9 ditempatkan di KLIA mula Isnin depan

Unit K9 ditempatkan di KLIA mula Isnin depan

GAMBAR Janaan AI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Unit anjing pengesan (K9) akan ditempatkan di lokasi strategik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 26 Oktober depan bagi memperkukuh keselamatan di pintu masuk utama negara itu.

Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan, penempatan unit K9 itu merupakan sebahagian daripada 17 langkah memperkukuh keselamatan lapangan terbang, meningkatkan pengesanan barangan larangan dan mencegah ancaman di kawasan awam yang sibuk serta zon larangan.

MAHB berkata, penempatan unit K9 akan meliputi tiga lokasi utama iaitu balai pelepasan, balai ketibaan dan kawasan pengasingan bagasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Unit K9 akan ditempatkan di kawasan daftar masuk bagi membolehkan pengesanan awal barangan larangan dan potensi ancaman keselamatan yang berkaitan dengan penerbangan tertentu.

“Selain itu, unit berkenaan turut ditempatkan di kawasan pemeriksaan kastam bagi membantu mengesan barangan larangan, dadah dan barangan seludup.

“Kawasan rehat khusus turut dikenal pasti bagi membolehkan unit K9 berehat antara rondaan dengan pengendali masing-masing sentiasa bersedia untuk menguruskan keperluan haiwan tersebut,” katanya hari ini.

Di kawasan operasi dalaman pula, unit K9 akan membantu pemeriksaan keselamatan bagasi daftar masuk sebelum dimuatkan ke dalam pesawat atau dipindahkan ke kawasan pengambilan bagasi.

Menurut MAHB, bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar, KLIA akan menyelaraskan prosedur operasi dengan agensi berkaitan, termasuk pembangunan prosedur operasi standard (SOP), penetapan akses khusus bagi unit K9 dan pengendali serta penyediaan kemudahan sokongan bersesuaian di terminal.

“Fasa percubaan turut dilaksanakan bagi menilai keberkesanan lokasi yang dipilih serta mengenal pasti pelarasan yang diperlukan terhadap aliran pergerakan penumpang dan jadual penempatan unit K9,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, penempatan unit K9 akan melengkapi langkah keselamatan sedia ada selain memperkukuh usaha kolektif KLIA dalam melindungi penumpang, pengunjung dan kakitangan lapangan terbang.

“Kerjasama ini juga membolehkan anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) memberi tumpuan kepada tanggungjawab utama mereka dalam menjaga keselamatan pengguna dan kemudahan lapangan terbang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini