DUNGUN: Perjalanan pulang tiga sekeluarga ke Kelantan berakhir tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 90 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Bukit Bauk, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Mohamad Zulkefli Ishak, 32, dan isterinya, Norshila Zali, 36, meninggal di lokasi kejadian ekoran kecederaan di bahagian kepala dan badan.
Seorang lagi mangsa iaitu adik kepada Mohamad Zulkefli. Muhammad Alif Syukri 18, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun.
Ketika kejadian. ketiga-ketiga mangsa yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Grand Livina dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke Kelantan selepas menjemput Muhammad Alif Syukri yang menuntut di Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) Kuantan, Pahang.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu Mohamad Zulkefli hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Berikutan jarak terlalu dekat, sebuah Toyota Hilux milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berada di laluan bertentangan gagal mengelak lalu merempuh bahagian kiri kenderaan itu.
“Pelanggaran itu mengakibatkan Mohamad Zulkefli dan isterinya meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Alif Syukri meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Dungun,” katanya di sini.
Nik Ab. Halim berkata, proses bedah siasat terhadap ketiga-ketiga mangsa akan dijalankan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










