GEORGE TOWN : Tiga individu yang dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan parah terhadap dua lelaki lain dengan menggunakan parang, Ogos lalu.
Tertuduh, K.Arul Kevin, 20; V. Vishnu, 24, dan P. Kuhan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Juraidah Abbas serta Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen 1, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Saw Jing Bing, 25, dengan menggunakan parang di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Ming Cawangan Kedua, Pulau Pinang kira-kira pukul 2.45 pagi pada 25 Ogos lalu.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 2 pula, ketiga-tiga tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan pada waktu, tarikh dan lokasi yang sama dengan pertuduhan sebelumnya iaitu menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lagi mangsa, Stanley Lim Xiao Tian, 17, dengan menggunakan sebilah parang.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan pula dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen dan M. Darrshini manakala kesemua tertuduh diwakili peguam K. Mahendran.
Ketika prosiding, Anuarul Hakim menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh bagi kes di Mahkamah Sesyen 1, manakala Darrshini turut menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh di Mahkamah Sesyen 2.
Mahendran bagaimanapun memohon agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan ketiga-tiga anak guamnya menyerah diri kepada polis selepas dihubungi dan bukannya ditangkap.
Pada masa yang sama, beliau berkata, anak-anak guamnya juga berpendapatan rendah iaitu antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan dengan bekerja sebagai pemandu e-hailing, juruelektrik serta pemandu lori dan perlu menanggung keluarga masing-masing.
Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dan RM10,000 tiap seorang dengan seorang penjamin sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jaminan bagi setiap tertuduh adalah sebanyak RM22,000.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 haribulan sehingga kes selesai serta tidak mengganggu atau menghampiri saksi pendakwaan, terutamanya mangsa. Kes ditetapkan untuk sebutan semula di kedua-dua mahkamah pada 6 November depan.-UTUSAN











