KUALA LUMPUR: Pertama kali menerbitkan dan mengarahkan filem sulungnya, pelakon, Liyana Jasmay mengakui risau akan penerimaan penonton terhadap naskhah perdananya.
Cerita Liyana, 38, kegusaran itu membuatkannya sukar tidur malam selain mencari ketenangan melalui makanan menyebabkan beratnya naik sehingga 4 kilogram.
“Gementar sangat sampai saya tak boleh tidur dan berat badan naik 4 kilogram.
“Risau dan takut penerimaan penonton kerana saya sangat mementingkan ‘rasa’.
“Saya risau kalau penonton tak boleh rasa apa yang ingin disampaikan dalam filem ini. Risau orang rasa atau tidak,” katanya.
Liyana ditemui semasa tayangan khas Pemuja Syaitan yang diadakan di TGV KLCC, Kuala Lumpur pada malam Rabu.
Dalam pada itu, pelakon Histeria itu juga mengakui tekanan juga hadir kerana memikirkan banyak pihak terlibat dan menaruh harapan terhadap filem Pemuja Syaitan.
“Biasanya orang risau tak makan, tapi saya asyik-asyik makan.
“Sebelum ini selalu cakap diet tak ambil gula kan, tapi tak tahu dah ke mana diet saya tu.
“Saya sangat stres sebab filem ini dibuat bersama rakan kongsi. Orang percaya kita dan banyak orang menaruh harapan, jadi sudah tentu kita nak berikan terbaik,” ujarnya.
Bagaimanapun, Liyana berkata dia sudah melakukan yang terbaik untuk menggerakkan promosi filem ini termasuklah bertemu peminat di lapangan.
“Apa yang anda semua nampak di TikTok, Threads itulah teknik pemasaran gerila yang kami buat.
“Saya rasa teknik itu berjaya juga sampai menjadi isu viral, jadi mungkin selepas ini pengkarya filem pun boleh buat perkara sama.
“Kita bukan nak jadikan isu itu sebagai bad marketing, kami buat atas usaha sendiri, termasuk turun padang berjumpa dengan peminat dan sebagainya,” katanya.
Filem Pemuja Syaitan menceritakan sekumpulan rakan karib yang bertemu di sebuah pantai selepas SPM sebelum berhadapan tragedi mistik.
Pemuja Syaitan dibintangi oleh Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Nadhir Nasar, Aila Azizul dan
bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 15 Oktober depan. – UTUSAN











