KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan tiada campur tangan mana-mana ahli politik dalam menentukan sebarang projek melibatkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memastikan keputusan pelaburan dibuat berdasarkan kepentingan ekonomi dan penilaian profesional bukannya kepentingan individu atau kelompok tertentu.
Katanya, keputusan pemilihan projek juga akan diserahkan kepada badan pelaburan yang dianggotai golongan profesional dengan kepakaran bersesuaian.
“Sebab itu, saya bersetuju supaya peraturan berkaitan entiti milik kerajaan diperketatkan melalui Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan bagi memperkukuh mekanisme pengawasan, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berhubung persoalan dan peranan GLIC dan GLC dalam menerima dana kerajaan agar tidak hanya dijadikan sebagai ‘penyelamat syarikat besar’.
Dalam pada itu, Anwar berkata, GLIC dan GLC yang menjaga kepentingan Bumiputera dan umat Islam seperti Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dijadikan contoh tadbir urus yang baik serta berintegriti.
Menurutnya, institusi yang membawa amanah tersebut sepatutnya menjadi contoh terbaik daripada segi tadbir urus dan integriti, bukannya berdepan kelemahan pengurusan yang lebih serius berbanding syarikat lain.
“Sebab itu sepatutnya tatatkelola perlu lebih ketat. Kerana saya yakin Islam dan Melayu boleh dijadikan contoh. Jangan sebab nama bumiputera tapi tadbir urus lebih parah daripada syarikat lain,” jelasnya. – UTUSAN











