KOTA BHARU: Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dicadang diaktifkan secara berjadual di hadapan sekolah ketika murid masuk dan pulang bagi memastikan pemandu mematuhi had laju serta mengurangkan risiko kemalangan.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Padang Kala di sini, NIk Saiful Adli Burhan berkata, sistem pengawasan itu perlu dilengkapi indikator khas seperti lampu amaran bagi memaklumkan kepada pemandu bahawa waktu persekolahan sedang berlangsung.
Katanya, langkah itu penting supaya pemandu lebih peka terhadap kehadiran murid dan memperlahan kenderaan ketika waktu keluar masuk sekolah.
“Mengambil contoh kamera AES di hadapan Istana Kubang Kerian (Kota Bharu), saya lihat semua kenderaan mematuhi had laju kawasan berkenaan. Jadi saya berharap pendekatan sama dapat dipertimbang di kawasan sekolah sebagai langkah meningkatkan pematuhan pemandu dan melindungi keselamatan murid,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nik Saiful berkata, sebagai ibu bapa, dia menyokong cadangan had laju maksimum 30 kilometer sejam (km/j) di kawasan sekolah dan menggesa Kementerian Pengangkutan menyegerakan pewartaan serta penguatkuasaannya.
Katanya, penetapan had laju sahaja tidak memadai tanpa penyediaan infrastruktur yang selamat termasuk lorong khas untuk menghantar dan mengambil murid serta kawasan menunggu yang bersesuaian.
“Pewartaan had laju, penyediaan kemudahan keselamatan dan penguatkuasaan tegas perlu dilaksanakan seiring bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat. Keselamatan murid mesti menjadi keutamaan, bukan sekadar papan tanda had laju,” ujarnya. – UTUSAN











