IPOH: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya, minggu lalu.
Tertuduh, Chew Loong Thye, 49, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Norizan Riduan
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang wanita warga emas, Ching Lai Kheng, 70, di sebuah rumah di Laluan Kledang Utara 6, Taman Wang, Menglembu antara pukul 7.15 hingga 7.30 malam pada 27 September 2026.
Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ainin Sofiya Azlaini manakala tertuduh tidak mempunyai peguam.
Terdahulu, Ainin Sofiya tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan patologi dan toksikologi masih lagi belum diperoleh.
Dalam prosiding sama, Norizan turut bertanya kepada tertuduh sama ada dia mengambil ubat psikiatri dan wanita terbabit menjawab bahawa dia mengambil ubat tersebut.
Mahkamah kemudian memerintahkan Loong Thye dirujuk kepada pakar psikitri untuk pemeriksaan dan menetapkan 22 November depan untuk sebutan semula kes bagi laporan tersebut.
Pada 28 September lalu, media melaporkan kejadian seorang wanita warga emas maut dengan kesan tikaman di dada di sebuah rumah di Taman Wang, Menglembu.
Susulan itu, tangkapan dibuat terhadap seorang wanita yang juga anak mangsa bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Difahamkan, mangsa yang berada dalam keadaan terlantar itu baru sahaja diambil pulang dari sebuah pusat jagaan warga emas di Pusing untuk dijaga di rumah. – UTUSAN











