ALOR SETAR: Seorang penjawat awam wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan bagi membekalkan barangan dan perkhidmatan bernilai kira-kira RM30,000, tiga tahun lalu.
Sumber memaklumkan, suspek berusia lingkungan 40-an itu didakwa melakukan perbuatan itu sempena sebuah kejohanan sukan bertaraf antarabangsa di Langkawi, sebelum ini.
Katanya, wanita terbabit ditahan kira-kira pukul 4 petang, semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Langkawi.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 2023 dengan mencadangkan dua syarikat yang dimiliki individu sama dan dia dipercayai mempunyai kepentingan dalam kedua-dua syarikat berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN











