PUTRAJAYA: Siasatan terhadap isu jenayah kewangan akan dijalankan secara menyeluruh tanpa terhad kepada mana-mana individu atau syarikat tertentu bagi memastikan semua aspek berkaitan diteliti berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya diberikan mandat untuk mempengerusikan Jawatankuasa Khas Siasatan Berkaitan Isu Jenayah Kewangan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 20 Oktober lalu.
Menurut kenyataan itu, jawatankuasa berkenaan akan menyiasat susur galur jenayah kewangan dari peringkat awal hingga kini secara telus dan komprehensif.
“Mesyuarat pertama jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar pada 28 Oktober lalu bagi menetapkan keanggotaan, skop serta parameter siasatan.
“Mesyuarat tersebut turut dihadiri wakil agensi berkaitan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC),” katanya hari ini.
AGC memaklumkan, pelaksanaan siasatan akan melibatkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan berkaitan bagi memastikan tindakan dilaksanakan secara teratur dan bersepadu.
Katanya, laporan hasil siasatan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya sebelum dimaklumkan kepada orang awam.
“Pendekatan itu mencerminkan komitmen untuk memastikan proses siasatan dilaksanakan secara telus, menyeluruh dan bertanggungjawab demi kepentingan awam,” katanya. – UTUSAN











