KUALA LUMPUR: Pemusik dan Maestro terkenal, Datuk Ramli M.S mencadangkan kepada pihak penaja rancangan Kilauan Emas Selebriti agar menyediakan hadiah yang setimpal bagi program berkenaan di musim akan datang.
Katanya, pemberian berkenaan sekurang-kurangnya dapat melegakan peserta yang berhempas pulas menjayakan program berkenaan.
“Saya memahami, mereka (peserta) berjuang habis-habisan, menyanyikan dua tiga lagu bagi setiap minggu.
“Program ini bagus untuk pelakon yang agak lama tidak muncul di televisyen, tapi setidaknya sediakan hadiah (wang ringgit) untuk mereka,” katanya usai konsert final prorgam berkenaan yang menutup tirainya malam tadi.
Ramli dalam pada itu Ramli meluahkan rasa terkejut dengan ketiadaan pemberian hadiah (wang tunai) sebagai hadiah utama.
“Saya hormati kesungguhan peserta yang berkorban kos, masa dan pakaian mereka setiap minggu. Sepatutnya harus setimpal.
“Ini pandangan saya yang tidak ditujukan kepada Astro, saya harap ia tidak disalah ertikan.
“Pertama kali saya mendengar pertandingan ini tidak menyediakan hadiah wang tunai. Sekurang-kurang sediakanlah yang setimpal dengan usaha mereka,” katanya lagi.
Kilauan Emas Selebriti yang menutup tirainya semalam mengangkat Datuk Jalaludin Hassan sebagai juara, diikuti Datuk Ahmad Tarmimi Sarigar (naib johan) dan Zila Bakarin di tempat ketiga.
Dlaam pertandingan yang sama, Fazlina Ahmad Daud berjaya mendapat tempat keempat, Amyza Aznan (tempat kelima) dan Rahim Omar di tempat keenam. – UTUSAN











