PETALING JAYA: Pelakon, Andy Teh, mengunci mulut mengenai dakwaan dikatakan sedang menjalin hubungan cinta dengan pelakon, Chacha Maembong.
Andy atau Andy Teh Kim Huat, 41, berharap peminat akan terus menyokong kerjayanya berbanding memberi tumpuan kepada hubungan cintanya.
“Saya memilih untuk tidak berkongsi mengenai hal peribadi ketika ini dan mahu beri tumpuan terhadap kerjaya seni.
“Kepada peminat, kalau betul-betul minat saya dalam bidang seni, tolonglah terus sokong. Hal-hal peribadi saya letak tepi.
“Namun, saya sedar setiap orang mempunyai ruang untuk bercakap dan menyuarakan pendapat masing-masing. Jadi, tidak boleh menyalahkan sesiapa jika ada yang bercakap mengenai hal tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Gosip tersebut kembali diperkatakan apabila kedua-dua pelakon itu didakwa keluar bersama mengunjungi sebuah taman tema air.
Dalam perkembangan lain, pelakon yang mula popular menerusi lakonanya dalam filem Blood Brothers itu bersyukur apabila namanya membolosi senarai Top 5 kategori Pelakon Pembantu Lelaki Filem Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35).
Andy masuk dalam senarai tersebut menerusi laknanya dalam filem Abah Saya Uncle Mike.
“Saya anggap pencalonan ini sebagai satu kemenangan kerana sudah bertahun-tahun menyertai FFM, tetapi ini kali pertama saya tercalon.
“Soal itu (kemenangan), kita serahkan kepada Tuhan. Kalau menang, itu rezeki tetapi bila dapat tercalon dalam kelompok lima terbaik pun sudah membanggakan.
“Kita perlu sentiasa berfikiran positif kerana persaingan tahun ini memang hebat dan semua mempunyai kelebihan masing-masing.
“Saya sudah memberikan yang terbaik. Sekarang hasil usaha saya mendapat perhatian dan pengiktirafan apabila tercalon dalam Top 5, itu sudah cukup bagi saya,” ujarnya.
Selain Andy, turut tersenarai dalam kategori itu ialah Wan Hanafi Su (Badak), Aedy Ashraf (Tarung), Kuben Mahadevan (Macai) dan Sky Iskandar (The Furious). -UTUSAN











