SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menafikan khabar angin bahawa beliau akan melepaskan jawatannya sebaliknya menegaskan masih mendapat sokongan penuh daripada 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang lain.
Beliau berkata, tumpuannya ketika ini adalah untuk memastikan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 dapat dibentangkan pada 27 November ini.
“Itu semua khabar angin sahaja. Memang banyak khabar angin yang tersebar tetapi saya mendapat sokongan penuh ADUN kerajaan.
“Belanjawan ini penting. Saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya kita dapat membentangkan dan meluluskannya dengan jayanya,” katanya.
Beliau ditemui selepas melawat mangsa kebakaran empat buah rumah di Ampangan baru-baru ini yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Gedong Lalang, di sini, hari ini.
Menurut Ismail, persiapan belanjawan kini berada di peringkat akhir dengan kerjasama penjawat awam negeri, khususnya ketua-ketua jabatan.
Katanya, barisan pentadbiran negeri akan mengadakan satu lagi pertemuan untuk memuktamadkan belanjawan berkenaan.
“Kami sudah mempunyai peruntukan yang mencukupi dan kini menunggu perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk meneruskannya,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail menafikan dakwaan bahawa beliau merancang menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan minggu ini.
“Dari mana kamu dengar perkara itu? Buat masa ini, tiada perancangan untuk berbuat demikian,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu dalam masa terdekat, beliau berkata, sebarang keputusan berkemungkinan akan menunggu keputusan mahkamah berhubung kesahihan pembatalan pelantikan 10 bekas Exco negeri.
“Buat masa ini, kita sudah membawa perkara itu ke mahkamah, jadi kita tunggu proses mahkamah. Mungkin ada perbincangan, tetapi saya tidak pasti. Kita lihat bagaimana keadaan seterusnya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan membantu membayar sewa rumah baharu mangsa kebakaran yang terjejas selama tiga bulan dan tempoh itu boleh dilanjutkan sehingga enam bulan jika perlu.
“Buat masa ini, mereka berada dalam keadaan terjaga. Apabila mereka bersedia untuk berpindah, MAINS akan membantu membayar sewa rumah baharu mereka selama tiga bulan dan jika perlu, tempoh itu akan dilanjutkan kepada enam bulan,” katanya. – UTUSAN











