ALOR SETAR: Kelewatan Kerajaan Persekutuan menetapkan dasar berkaitan perlombongan unsur nadir bumi (REE) didakwa menjejaskan usaha Kedah dan negeri lain menjana hasil baharu, termasuk menarik pelaburan dalam industri pemprosesan mineral berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beberapa pelabur sudah bersedia untuk melabur dalam kemudahan pemprosesan REE di negeri ini, namun usaha itu masih tertangguh kerana belum mendapat kelulusan berkaitan.
Menurutnya, Kedah mahu membangunkan industri hiliran supaya sumber REE tidak hanya dijual dalam bentuk mentah, sebaliknya diproses bagi menghasilkan nilai tambah kepada ekonomi negeri.
“Kita ada kilang Lynas dan akan ada pelabur yang bersedia pada bila-bila masa sekiranya mendapat kelulusan untuk menjalankan proses penguraian 17 elemen itu di sini.
“Kita mahu elemen itu diuraikan di sini supaya ada projek-projek hiliran daripada REE. Kita tidak mahu menjual bahan mentah sahaja,” katanya pada sidang akhbar The Greater Kedah Lecture Series di sini, hari ini.
Beliau mengulas isu dasar pembangunan REE yang turut dibangkitkan dalam Seminar Ekonomi dan Perniagaan SG4 di ibu negara, baru-baru ini.
Muhammad Sanusi berkata, alasan keselamatan negara menjadi antara faktor yang menyebabkan usaha negeri-negeri untuk meneruskan pembangunan sumber berkenaan belum dapat bergerak seperti dirancang.
Katanya, beberapa syarikat di Kedah juga telah selesai proses penerokaan dan mahu meneruskan langkah seterusnya bagi mendapatkan kelulusan perlombongan, termasuk menyediakan skim perlombongan serta memenuhi keperluan penilaian kesan kepada alam sekeliling (EIA).
Bagaimanapun, katanya, kelewatan menetapkan dasar dan mendapatkan kelulusan teknikal menyebabkan proses untuk memulakan pengeluaran hasil mineral turut tertangguh.
“Buat dasar cepatlah. Pelabur sudah masuk dan selesai proses penerokaan. Kita mahu memberikan lesen perlombongan, tetapi mereka perlu menyediakan skim perlombongan, EIA dan memenuhi keperluan lain. Bila kelulusan lambat, proses teknikal turut lambat. Akhirnya, hasil baharu negeri tertangguh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendakwa terdapat maklumat bahawa sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di peringkat Persekutuan mungkin mengambil alih pengurusan industri REE negara.
Beliau membandingkan kemungkinan itu dengan industri petroleum yang menurutnya menyebabkan negeri pengeluar menerima bahagian hasil tertentu, sedangkan sumber REE terdapat di banyak negeri.
Bagaimanapun, beliau mengakui perkara itu masih berdasarkan maklumat yang diterimanya dan bukan keputusan rasmi yang diketahuinya, namun menyifatkan keadaan itu sebagai satu bentuk sekatan terhadap peluang negeri menjana pendapatan baharu sekiranya benar.
“Kalau tidak ada sekatan, tentulah ada hasil baharu untuk negeri. Sekarang ini, negeri tidak ada banyak sumber hasil selain galian-galian ini. Sementara harga dan permintaan terhadap REE masih tinggi, berilah ruang kepada negeri untuk membangunkan sumber itu,” katanya. – UTUSAN











