Saman fitnah: Ahmad Fadhli, Nabil Halimi selesai cara baik

Saman fitnah: Ahmad Fadhli, Nabil Halimi selesai cara baik

AHMAD Fadhli Shaari berjabat tangan dengan Nabil Halimi selepas kedua-duanya bersetuju menyelesaikan kes saman fitnah secara baik di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saman fitnah Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari terhadap Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi berhubung hantaran karikatur satira memaparkan seekor monyet sebagai hakim antara kambing dan biri-biri yang berebut pisang, diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak memaklumkan persetujuan penyelesaian dicapai bagi menamatkan pertikaian berkenaan dan membolehkan mereka memberikan tumpuan kepada perkara lain yang lebih mustahak, khususnya membabitkan kepentingan rakyat dan negara.

Tanpa sebarang pengakuan liabiliti, Nabil mengambil pendekatan terbuka dan berlapang dada untuk memohon maaf kepada Ahmad Fadhli atas kenyataan yang telah menimbulkan pertikaian antara kedua-dua pihak.

Langkah itu diambil dengan hasrat untuk menutup pertikaian berkenaan secara baik serta membolehkan kedua-dua pihak bergerak ke hadapan.

Kedua-dua pihak turut bersetuju menamatkan pertikaian berdasarkan terma-terma yang telah dipersetujui bersama.

Susulan persetujuan itu, Ahmad Fadhli bersetuju menarik balik saman yang difailkan selepas terma persetujuan direkodkan oleh mahkamah.

Ahmad Fadhli diwakili peguam Mardhiyyah Johari dan Ahmad Amzar Ahmad Azlan, manakala Nabil diwakili peguam Khairul Naim Rafidi dan Asyraaf Abu Bakar Hamzah.

Pada Julai lalu, Nabil mengecam keras Ahmad Fadhli yang didakwa mempersenda peranan rasmi Malaysia dalam usaha diplomatik meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja menerusi satu karikatur yang dimuat naik dalam hantaran di Facebook.

Hantaran tersebut memaparkan ilustrasi seekor monyet berjubah hakim yang digambarkan menjadi orang tengah antara kambing dan biri-biri.

Ilustrasi berkenaan didakwa sebagai sendaan terhadap usaha kerajaan Malaysia yang ketika itu mempengerusikan ASEAN dalam menangani konflik antara kedua-dua negara berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN