Rompakan ahli perniagaan China: Tiga termasuk bekas pegawai SPRM diperintah bela diri 

Rompakan ahli perniagaan China: Tiga termasuk bekas pegawai SPRM diperintah bela diri 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan dua pegawai dan seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membela diri atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang ahli perniagaan warga China, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan selaku perayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang melepas dan membebaskan dua pegawai SPRM Muhamad Haffiz Mohd Radzi, 36, dan Mohd Fahmee Mohamad Nor, 44, serta bekas pegawai Azwan Asli, 41, pada akhir kes pendakwaan.

“Rayuan pendakwaan dibenarkan, hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf kerana memutuskan elemen ketakutan tidak dapat dibuktikan, walhal elemen itu wujud.

Memuatkan artikel berkaitan…

ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan peringkat pembelaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen. Jaminan tiga responden dikekalkan dan mahkamah menetapkan sebutan di Mahkamah Sesyen pada 29 Okt,” kata hakim.

Pada 4 Ogos tahun lepas, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan tiga lelaki itu yang dinamakan sebagai responden dalam prosiding rayuan hari ini, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan dan memenuhi elemen rompakan dalam transaksi tersebut.

Prosiding dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Nordin Ismail, Mohamad Fadhly Mohd Zamry serta Hench Goh manakala peguam Azizul Shariman Mat Yusoff mewakili Muhammad Haffiz dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad mewakili dua lagi responden.

Pada 13 Dis 2023, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas Kun Gao dengan merompak wang tunai RM952,690 dan 1,225 Yuan, satu bagasi berwarna perak serta satu beg Louis Vuitton hitam milik lelaki itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Ampang pada 12 tengah hari 10 Dis 2021 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, semasa mangsa tiba di kondominium itu pada 12 tengah hari, hari kejadian, Mohd Fahmee dan Azwan berada di dalam rumah dan memperkenalkan diri sebagai pegawai SPRM, dan memaklumkan mahu menggeledah rumah untuk mencari dokumen berkaitan siasatan pengubahan wang haram.

Tiga responden itu memaksa Kun Gao menyerahkan pasport miliknya, membuka peti simpanan keselamatan serta merampas telefon bimbit milik mangsa, isteri, anak dan pembantu rumah selain Muhamad Haffiz menunjukkan gari kepada mangsa seperti ingin menahannya.

Akibat berasa takut dan terancam, mangsa tidak berdaya menghalang tiga responden daripada menggeledah rumahnya dan hanya mampu melihat mereka mengambil barangan tersebut.

Mangsa diarahkan membawa dua beg itu ke lobi untuk dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan Toyota Hilux. 

Semasa proses penggeledahan, mangsa tidak dibenarkan menghubungi dan menunggu peguamnya hadir selain tiada borang bongkar disediakan serta lelaki itu tidak menandatangani sebarang dokumen rampasan ke atas wang tunai dan beg tersebut.

Hasil siasatan polis serta pengesahan daripada penyelia kepada tiga responden terbabit  jelas merumuskan tindakan itu bukan sebahagian daripada operasi rasmi SPRM, sebaliknya satu perbuatan rompakan.-BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini