KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3.3 bilion untuk projek prasarana asas desa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk memasang lampu jalan kampung, kemudahan komuniti serta bekalan air bersih dan elektrik.
“Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan pemasangan lampu jalan solar di kampung dan panel solar bumbung di rumah kebajikan serta rumah ibadat.
“Bekalan elektrik turut ditambah baik di sekolah tahfiz, pondok dan perkampungan Orang Asli,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, kerajaan berhasil mengemudi kesepakatan antara kerajaan Perak dan Pulau Pinang melalui Perjanjian Bekalan Air Pukal untuk tempoh 40 tahun.
“Capaian air bersih di seluruh negara terus ditingkatkan melalui Non Revenue Water Kebangsaan dengan kos RM2.5 bilion. Tumpuannya untuk menukar paip kritikal yang usang sepanjang 1,900 kilometer,” katanya. – UTUSAN











