ALOR SETAR: Remaja lelaki berusia 16 tahun yang terkena renjatan elektrik bersama dua rakannya ketika menyertai perarakan keagamaan di Mergong, malam tadi belum sedarkan diri selepas melecur kira-kira 80 peratus pada badan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa yang juga seorang pelajar kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Katanya, dua lagi mangsa masing-masing remaja lelaki berusia 17 tahun melecur 20 peratus pada tangan serta 40 peratus pada muka dan tangan.
“Dua mangsa berusia 17 tahun itu dilaporkan sudah sedarkan diri, namun mereka masih dalam pemantauan pihak hospital,” katanya di sini, hari ini.
Syed Basri berkata, kejadian berlaku ketika mangsa membawa tiang bendera semasa perarakan tokong sayur di jalan raya berhadapan sebuah pasar raya, malam tadi.
“Tiang itu dipercayai tersentuh talian utama bekalan elektrik pada ketinggian dianggarkan 10 meter sebelum menyebabkan ketiga-tiga mereka terkena renjatan elektrik,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan tiga remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun cedera selepas bendera yang dibawa ketika perarakan keagamaan dipercayai terkena talian elektrik bervoltan tinggi. – UTUSAN








