Pulau Pinang: JPJ kesan 38 kes dadah babitkan pemandu lori, bas - Utusan Malaysia

Pulau Pinang: JPJ kesan 38 kes dadah babitkan pemandu lori, bas

ZULKIFLY Ismail (tengah) menyoal seorang pemandu lori ketika operasi bersepadu bagi mengesan penggunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan dijalankan di Stesen Penguatkuasa JPJ Valdor, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Sebanyak 38 kes penggunaan bahan terlarang termasuk dadah berjaya dikesan khususnya dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan seperti lori dan bas menerusi operasi bersepadu yang diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sepanjang tahun ini.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, jumlah itu termasuk tiga kes penggunaan dadah yang berjaya dikesan dalam operasi terbaharu yang dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), malam tadi.

Beliau berkata, ketiga-tiga kes tersebut melibatkan seorang pemandu bas kilang, pemandu lori serta seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui kawasan pemeriksaan ketika operasi sedang berjalan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pemandu bas kilang berusia 45 tahun itu didapati positif dadah jenis syabu dan morfin selepas satu ujian saringan air kencing dijalankan manakala pemandu lori serta penunggang motosikal yang masing-masing berusia 34 dan 38 tahun pula positif dadah jenis morfin dan ganja.

“Hampir semua yang ditahan atas kesalahan menggunakan dadah ketika memandu ini memberikan alasan yang sama iaitu suka-suka atau terpengaruh dengan kawan,” katanya kepada pemberita ketika turut-serta dalam operasi yang diadakan di Stesen Penguatkuasa JPJ Valdor di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, secara keseluruhannya, penggunaan dadah jenis syabu atau methamphetamine paling banyak dikesan dalam operasi yang diadakan sepanjang tahun ini selain penggunaan dadah jenis ganja, ketum dan morfin.

“Kalau dikira dari segi pecahan jumlah pemandu yang dikesan melakukan kesalahan pula, pemandu lori adalah paling tinggi, diikuti oleh pemandu kenderaan persendirian dan pemandu bas,” ujar beliau.

Sementara itu, Zulkifly memberitahu, JPJ komited untuk terus memperkukuh penguatkuasaan serta membendung penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan dalam usaha memastikan agar keselamatan pengguna jalan raya lebih terjamin.

“Kita tidak mahu budaya mengambil dadah untuk kekal bertenaga ketika memandu menjadi sesuatu yang dianggap biasa dalam industri pengangkutan.

“Oleh itu, pemandu perlu bertanggungjawab untuk mengawal kenderaan manakala pengusaha pula bertanggungjawab untuk mengurus risiko. Pada masa yang sama, JPJ akan terus bertanggungjawab demi memastikan agar undang-undang jalan raya sentiasa dipatuhi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini