LUMUT: Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta BMW di hadapan sebuah rumah di Taman Hijau, Kampung Koh, Sitiawan semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, pihak polis menerima laporan kejadian itu pada hari sama, kira-kira pukul 1.54 petang.
Katanya, berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.16 pagi ketika pemilik kenderaan berada di dalam rumah sebelum terdengar bunyi letupan.
“Lelaki itu hanya menyedari keretanya rosak akibat tembakan kira-kira pukul 9 pagi selepas mendapati terdapat empat kesan tembakan pada bahagian pintu sebelah kanan kenderaan berkenaan.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mendapati dua suspek yang identitinya belum dikenal pasti menghampiri kenderaan itu dengan menaiki sebuah motosikal.
“Seorang daripada mereka kemudian melepaskan tembakan ke arah kereta berkenaan sebelum kedua-duanya melarikan diri,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kertas siasatan kejadian itu dibuka mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
“Usaha mengesan kedua-dua suspek yang terlibat sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung menerusi talian 05-6886222 atau WhatsApp Hotline 017-6828005,” katanya. – UTUSAN











