PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan penglibatannya dalam aduan yang membawa kepada tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agungnya, Fuziah Salleh berkata, slaid yang dikongsikan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menerusi akaun Instagram dan Threads miliknya tidak pernah dibentangkan dalam kongres atau konvensyen PKR mahupun disediakan oleh mana-mana pihak dalam parti itu.
Katanya, program yang berlangsung pada 15 dan 16 Ogos lalu di Melaka ialah Kongres Nasional Keadilan 2026, bukannya konvensyen seperti yang didakwa Mukhriz.
“Saya amat kesal dengan tindakan Mukhriz Mahathir yang menyebarkan slaid tersebut tanpa terlebih dahulu memastikan kesahihannya.
“Saya menganggap tindakan menggunakan slaid yang tidak pernah dibentangkan itu untuk mengaitkan Parti Keadilan Rakyat dengan keputusan ROS terhadap Perikatan Nasional hari ini sebagai satu fitnah terhadap Keadilan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Fuziah berkata, Kongres Nasional Keadilan 2026 yang berlangsung di Melaka turut mendapat liputan meluas daripada pelbagai organisasi media, termasuk Bernama, Utusan Malaysia dan MalaysiaGazette.
“Sekiranya slaid tersebut benar-benar pernah dibentangkan seperti yang didakwa, sudah tentu terdapat rekod, rakaman atau laporan media yang boleh dijadikan bukti.
“Berdasarkan semakan kami, slaid tersebut pertama kali dimuat naik menerusi akaun media sosial menggunakan nama Arman Ashaari pada 24 September lalu di laman Facebook,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan aduan yang membawa kepada tindakan ROS terhadap PN merupakan isu yang melibatkan parti komponen dalam gabungan berkenaan sendiri.
Sehubungan itu, Fuziah menuntut Mukhriz menarik balik dakwaan yang mengaitkan PKR dengan keputusan ROS terhadap PN serta memohon maaf secara terbuka kepada parti itu.
“Mukhriz bukan orang baharu dalam politik. Jika beliau mempunyai bukti yang sahih, kemukakan rekod pembentangan asal. Perbezaan politik bukan lesen untuk menyebarkan fitnah,” katanya. – UTUSAN











