PH Melaka bergerak solo tanpa kerjasama termasuk Bersatu

PH Melaka bergerak solo tanpa kerjasama termasuk Bersatu

KHOO Poay Tiong mengadakan sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan di Bukit Katil hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka kekal pendirian untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 14 November ini tanpa menjalin sebarang kerjasama dengan mana-mana parti, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, pendirian itu kekal seperti yang ditegaskan sebelum ini dan PH akan bergerak menghadapi PRN berkenaan tanpa sebarang bentuk kerjasama politik dengan parti lain.

Menurutnya, perkara tersebut akan diumumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pakatan Harapan di parkir Stadium Hang Jebat kira-kira pukul 8.30 malam, Sabtu ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita sudah tegaskan sebelum ini PH kekal bertanding secara solo bersama komponen membabitkan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Tidak ada kerjasama atau apa-apa bentuk pakatan dengan parti lain menghadapi PRN 14 November ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH Bukit Baru di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Poay Tiong berkata, DAP Melaka kekal dengan pendirian untuk bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk empat kerusi yang kini disandang wakil rakyat parti itu.

Jelasnya, empat kerusi berkenaan ialah Ayer Keroh yang disandang Kerk Chee Yee, Kesidang (Allex Seah Shoo Chin), Banda Hilir (Leng Chau Yen) dan Kota Laksamana (Low Chee Leong).

Selain empat kerusi itu katanya, DAP turut menyasarkan Gadek, Bemban, Pengkalan Batu dan Duyong untuk ditandingi  oleh calon dari parti itu pada PRN kali ini.

Mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi PH, Poay Tiong berkata, perkara itu akan diketahui Sabtu ini.

Sementara itu, Poay Tiong berkata, pengumuman rasmi calon PH bagi PRN Melaka akan dibuat oleh Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR akan turut dihadiri pimpinan ketiga-tiga parti komponen. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini