Perdagangan jadi alat tekanan, Malaysia tidak boleh ambil mudah - PM

Perdagangan jadi alat tekanan, Malaysia tidak boleh ambil mudah – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh mengambil mudah risiko ekonomi global yang kini menjadikan tarif, kawalan eksport, sekatan ke atas cip dan mineral kritikal sebagai alat tekanan untuk mengekalkan kuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan, Malaysia tidak boleh naif dalam perubahan lanskap ekonomi global sekiranya mahu kekal sebagai negara pedagang bagi tempoh lama.

Kataya, ia bukan lagi sekadar pertimbangan teori semata-mata sebaliknya merupakan cabaran baharu ekonomi dan perdagangan antarabangsa hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan dan pada dasarnya Malaysia adalah salah satu daripadanya, dengan kilang-kilang di tengah-tengah rantaian bekalan cip dunia, ini bukanlah sekadar pertimbangan teori semata-mata.

“Sebuah negara pedagang yang naif tentang perkara ini tidak akan kekal sebagai negara pedagang bagi tempoh yang lama,” katanya dalam ucaptama pada Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2026, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hal ini wujud apabila kuasa bergerak lebih pantas daripada institusi yang diwujudkan untuk mengawalnya, malah golongan berkuasa jarang ‘membayarnya dengan harga yang mahal’.

ADS:D

Beliau berkata, keadaan itu sekali gus mengakibatkan timbulnya persoalan isu fundamental iaitu melibatkan tadbir urus dan akauntabiliti.

“Isu kebertanggungjawaban atau kebertanggungjawaban demokratik, tidak diberikan perhatian secukupnya dalam tatakelola dunia dan negara. Saya percaya bahawa itulah yang menjadi puncanya.

“Apabila seseorang menyebut tentang amalan perdagangan tidak adil, penetapan tarif tidak munasabah yang dikenakan secara sepihak, ketidakadilan ketara yang berterusan di seluruh dunia. Isu fundamental ialah bagaimana kita menangani isu tatakelola dunia,” katanya.

Beliau berkata, cabaran itu menjadi lebih besar apabila pemegang kuasa enggan melaksanakan reformasi ke atas institusi global bermula dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Katanya, negara-negara global selatan melalui badan seperti Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) sedang berusaha menunjukkan keperluan untuk keseimbangan jumlah bilangan mereka dengan pengaruh yang wajar.

“Nasib baik Malaysia mampu berlayar dan mengemudi dalam gelombang yang bergelora ini dengan menumpukan kepada ekonomi dan perdagangan antarabangsa, terus berhubung dengan baik sama ada dengan pihak Barat mahupun Timur.

“Kita mencatatkan pertumbuhan yang luar biasa hasil daripada pelaburan dan perdagangan dengan Amerika Syarikat, Eropah, serta menganggap China dan negara-negara jiran seperti Korea Selatan, Jepun, India sebagai sahabat baik kita,” katanya.

Perdana Menteri turut menyentuh isu teknologi termasuk melibatkan kecerdasan buatan (AI), cip dan data yang sedang membentuk hasil ekonomi dan pengaruh politik di dunia.

Katanya, persoalan terbesar yang perlu ditanya adalah siapa yang mengawal algoritma setiap instrument teknologi dibangunkan.

“Pada Julai lalu, salah satu syarikat AI terkemuka dunia mendedahkan bahawa model-model yang sedang menjalani ujian keselamatan siber telah mengatasi kawalan yang sepatutnya mengawal mereka (dengan) menembusi internet terbuka dan menjejaskan sistem luaran.

“Walaupun sesetengah ulasan cenderung agak sinis, mengatakan bahawa ia sebahagian sistem rumit… saya tidak mempunyai kepakaran untuk memahami perkara ini secara sepenuhnya, tetapi adalah lebih baik untuk kita berwaspada. Ia adalah satu amaran awal yang patut kita ambil perhatian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN