IPOH: Juara Sepak Takraw League (STL) 2025, Perak Bison berharap mampu mempamerkan aksi terbaik tahun ini meskipun kehilangan beberapa tonggak utama yang berhijrah ke pasukan lain.
Hasrat itu diharap mampu tercapai menerusi kehadiran bekas apit kiri pasukan Kuala Lumpur Thunders, Amirul Zazwan Amir, yang bersemangat dengan kejayaan membantu negara menamatkan kemarau 36 tahun untuk meraih emas acara regu berpasukan lelaki Sukan Asia di Jepun baru-baru ini.
Amirul Zazwan berkata, ini merupakan pertama kali dia menyertai pasukan lain selain Kuala Lumpur dan gembira apabila Perak Bison berminat mendapatkan khidmatnya.
“Saya cuba keluar dari zon selesa, menerima cabaran untuk bermain di negeri lain. Saya harap dapat menunjukkan prestasi yang terbaik untuk membantu Perak memberi persembahan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi baharu Perak Bison yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di sini hari ini.
Perak Bison menjuarai STL 2025 selepas mempamerkan aksi konsisten dalam kesemua enam pusingan Grand Prix dengan memungut 136 mata mengatasi Kuala Lumpur Thunders, 130 mata dan Melaka Titans 128 mata.
Kata Amirul Zazwan, cabaran utama adalah untuk mengeratkan ikatan persefahaman antara pemain kerana usaha itu pada kebiasaannya akan memakan masa yang lama.
Beliau dilihat sebagai pengganti Aidil Aiman yang berhijrah ke pasukan Terengganu Turtles.
Jersi Perak Bison bagi tahun ini ditaja oleh EFS iaitu jenama pakaian sukan yang berpusat di Perak. – UTUSAN











