KUALA LUMPUR: Misteri siapa sebenarnya di sebalik akaun Instagram ‘jefri_yayan’ yang didakwa mengugut penyanyi dan pempengaruh Caprice serta keluarganya masih belum terungkai selepas lebih setahun siasatan dijalankan.
Terbaharu, persoalan itu kembali menjadi perhatian selepas Murad Zaidi, yang sebelum ini disiasat berkaitan akaun berkenaan, dimaklumkan kes terhadapnya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Peguamnya, Aizzat Mustafa berkata, anak guamnya kini mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan perkembangan siasatan terhadap akaun tersebut dan siapa sebenarnya pengendalinya.
Katanya, Murad ditahan pada 11 Julai tahun lalu bagi membantu siasatan, selain telefon bimbitnya dirampas dan kediamannya digeledah.
“Beberapa individu yang mempunyai kaitan dengannya turut dipanggil bagi membantu siasatan.
“Pada 26 Nov tahun lalu, polis memaklumkan secara bertulis bahawa kes terhadap Murad Zaidi diklasifikasikan sebagai NFA dan telefon bimbitnya kemudian dipulangkan,” katanya.
Menurut Aizzat, sejak awal Murad menafikan dirinya sebagai pengendali akaun ‘jefri_yayan’ dan memberikan kerjasama penuh kepada polis sepanjang siasatan.
Namun, katanya, persoalan mengenai identiti sebenar individu di sebalik akaun itu masih timbul apabila PDRM menerusi maklum balas bertarikh 18 September lalu mengesahkan kes asal berhubung ugutan tersebut masih terbuka dan dalam siasatan.
“Perkembangan ini menimbulkan persoalan mengenai siapa sebenarnya pengendali akaun ‘jefri_yayan’ dan perkembangan siasatan selepas lebih setahun laporan dibuat,” katanya.
Aizzat berkata, Murad tidak mendakwa PDRM menghentikan siasatan, sebaliknya mahu mengetahui perkembangan kes yang masih berjalan itu.
“PDRM telah mengesahkan perkara itu masih dalam siasatan. Apa yang Coach Murad mahukan ialah penjelasan mengenai perkembangan siasatan dan, jika dikenal pasti, identiti individu yang mengendalikan akaun tersebut,” katanya.-UTUSAN











