KUALA KRAI: Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita di Machang, dekat sini, minggu lalu.
Wan Baderun Shah Wan Said, 48, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki empat liter cecair disyaki mengandungi mitragynine, iaitu bahan aktif dalam ketum.
Tertuduh membuat kedua-dua pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farazalila Fauzi.
Mengikut pertuduhan pertama, Wan Baderun Shah didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Hidayah Ma Yacob, 27, di Kilometer 4.7 Jalan Machang-Tanah Merah pada pukul 10.25 malam pada 19 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Muhammad Nadzir mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan di bawah Seksyen 41(5) akta sama, iaitu lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, Farazalila merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya bekerja sebagai pemandu treler dengan pendapatan kira-kira RM70 bagi setiap perjalanan.
Beliau berkata, tertuduh juga merupakan penanggung tunggal keluarga yang mempunyai isteri tidak bekerja serta tiga anak berusia sembilan tahun hingga 19 tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki empat bungkusan plastik lutsinar berisi cecair berwarna keperangan dengan anggaran isipadu kasar empat liter yang disyaki mengandungi racun jenis mitragynine tanpa kebenaran sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 41, tepi Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Kampung Kweng Hitam, Machang, kira-kira pukul 10.45 malam, 19 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Farazalila mengemukakan rayuan berdasarkan faktor sama seperti pertuduhan pertama sebelum mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh membayar kedua-dua jaminan yang ditetapkan mahkamah.
Mahkamah menetapkan 7 November ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN











