PETALING JAYA: Kerajaan tidak dijangka mengalami kehilangan hasil yang besar sekiranya pelepasan cukai individu dinaikkan kerana sumbangan cukai daripada individu ketika ini kurang daripada 10 peratus daripada keseluruhan kutipan cukai.
Pakar ekonomi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Barjoyai Bardai berkata, jika pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM9,000, pertambahan RM3,000 itu hanya memberi kesan kira-kira RM600 terhadap kutipan cukai bagi setiap individu berdasarkan kadar purata 20 peratus.
“Kesannya terhadap kutipan cukai tidak besar kerana individu hanya menyumbang kurang daripada 10 peratus jumlah kutipan cukai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan pelepasan cukai individu dijangka dinaikkan menerusi Belanjawan 2027 bagi memberi lebih ruang kepada golongan berpendapatan sederhana menangani kos sara hidup.
Barjoyai berkata, tambahan pelepasan itu dapat membantu golongan M40 kerana cukai yang perlu dibayar dan potongan cukai bulanan mereka akan berkurang.
“Langkah itu dijangka mampu membantu mengurangkan beban golongan kelas menengah, khususnya kumpulan M40 yang berdepan tekanan kos sara hidup,” katanya.
Sementara itu, pakar percukaian, Dr. Mohd. Fairuz A. Razak berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan peningkatan pelepasan cukai individu, khususnya bagi golongan M40 yang masih berdepan tekanan kos sara hidup yang tinggi.
Menurut beliau, langkah itu boleh meningkatkan sedikit pendapatan boleh guna golongan berkenaan dan seterusnya menyokong perbelanjaan domestik.
“Namun, manfaatnya lebih dirasai oleh mereka yang sememangnya membayar cukai, manakala golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai liabiliti cukai tidak banyak menerima manfaat daripada langkah tersebut.
“Kerajaan juga tidak semestinya perlu menaikkan cukai lain bagi menampung kehilangan hasil berkenaan kerana masih terdapat ruang untuk meningkatkan kutipan melalui peluasan asas cukai, peningkatan pematuhan, pelaksanaan e-Invois, pengurangan ketirisan serta penyasaran subsidi yang lebih berkesan.
“Masih banyak ruang untuk kerajaan meningkatkan hasil melalui pematuhan yang lebih strategik. Pada masa sama, Belanjawan 2027 perlu mengimbangi keperluan menangani kos sara hidup dengan kedudukan fiskal negara,” katanya.











