Pelantikan Syeikh Ali Gomaa atas dasar kepakaran dalam turath

Pelantikan Syeikh Ali Gomaa atas dasar kepakaran dalam turath

SYEIKH DR. ALI GOMAA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bantahan terhadap pelantikan Syeikh Dr. Ali Gomaa sebagai rujukan dalam Majlis Penasihat Pondok dan Turath tidak boleh dilakukan berdasarkan pertikaian politik sebaliknya perlu dibuat secara adil berlandaskan kepakaran.

Pengerusi Nadwah Ulama dan Ilmuan Islam (NUIM) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Bashir Mohamed Al Azhar berkata, Mesir mempunyai sejarah politik panjang dan rumit.

Katanya, hubungan antara tentera, institusi agama, parti politik dan masyarakatnya tidak boleh difahami melalui satu episod sahaja, apatah lagi diukur dengan neraca politik Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Umat Islam boleh berbeza pandangan tentang perkembangan politik di Mesir. Namun, perbezaan tersebut tidak wajar dijadikan ukuran tunggal untuk menghukum seluruh kewibawaan seorang ulama besar yang telah berkhidmat kepada ilmu selama puluhan tahun,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Bashir berkata, berdasarkan penjelasan Syeikh Ali berhubung isu sokongan terhadap bekas Presiden Mesir, Dr. Mohamed Morsi, beliau memperlihatkan satu prinsip konsisten iaitu keutamaan terhadap kestabilan negara, kesinambungan institusi dan pencegahan kekacauan.

Justeru, katanya, tidak adil untuk menggambarkan bahawa Syeikh Ali menolak pentadbiran Morsi sejak awal semata-mata atas dasar perbezaan kelompok.

“Namun, isu teras bagi Malaysia bukanlah politik Mesir, tetapi masa depan pendidikan pondok dan turath. Dalam bidang inilah sumbangan Syeikh Ali Gomaa terbukti dengan jelas dan diiktiraf secara akademik.

“Kajian kedoktoran Dr. Mary Elston di Universiti Harvard mendokumentasikan peranan besar beliau (Syeikh Ali) dalam menghidupkan semula halaqah pengajian turath di Masjid al-Azhar pada dekad 1990-an, ketika tradisi tersebut semakin malap, serta kemunculan jaringan institusi yang meneruskan pengajian itu hingga kini,” katanya.

Beliau berkata, Syeikh Ali bukan sekadar sarjana yang menulis tentang turath sebaliknya mempunyai pengalaman langsung membina semula budaya pengajian kitab, menghidupkan hubungan guru dengan murid, memulihkan kaedah pembacaan turath yang bersanad, dan memastikan kesinambungan tradisi keilmuan Ahli Sunnah wal Jamaah merentasi generasi.

Katanya, pengalaman menghidupkan semula tradisi inilah yang menjadikan beliau amat relevan sebagai rujukan utama dalam usaha memperkasa pendidikan pondok dan turath di Malaysia.

“NUIM menegaskan bahawa melantik beliau sebagai penasihat pendidikan tidak bermakna Malaysia menerima atau mendukung pendirian politik beliau berhubung Mesir. Sebaliknya, ia bermakna Malaysia memanfaatkan kepakaran yang telah beliau buktikan dalam bidang yang sedang kita perlukan.

“Sejarah keilmuan Islam sendiri mengajar kita untuk mengambil ilmu daripada ahlinya. Ulama terdahulu menilai seseorang berdasarkan kewibawaan ilmunya dalam bidang yang dipelajari, bukan menolak seluruh sumbangannya kerana perselisihan dalam perkara lain,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak melantik seorang ulama Mesir ke dalam Majlis Penasihat Pondok dan Turath yang dicadangkan kerajaan.

Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa ulama itu pernah menyokong jeneral tentera yang menggulingkan seorang presiden yang dipilih secara demokratik di negara Asia Barat tersebut, serta menghalalkan pembunuhan ribuan penyokong pemimpin yang digulingkan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini