PARLIMEN: Kerajaan belum bercadang wajibkan e-Konsular  

PARLIMEN: Kerajaan belum bercadang wajibkan e-Konsular  

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang mewajibkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk mendaftarkan keberadaan mereka melalui portal e-Konsular.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendaftaran menerusi e-Konsular ketika ini masih dilakukan secara sukarela dan kementerian belum mempertimbangkan untuk memohon kerajaan menjadikannya sebagai satu kewajipan.

“Belum ada lagi hasrat pihak kementerian untuk kita memohon daripada kerajaan untuk menjadikan ianya sebagai mandatori kepada rakyat Malaysia sama ada yang menetap di luar negara ataupun yang melancong ataupun pelajar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Belum sampai lagilah, kita belum pertimbangkan lagi,” katanya menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (Pas-Jerantut) di Dewan Rakyat hari ini.

Khairil Nizam meminta menteri menjelaskan adakah kerajaan berhasrat untuk mewajibkan pendaftaran tersebut kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk memastikan pengawasan negara kepada mereka lebih tuntas. 

Mohamad berkata, rakyat Malaysia yang melancong, menetap atau melanjutkan pengajian di luar negara diminta supaya menggunakan kemudahan e-Konsular bagi memudahkan pihak kedutaan dan pejabat perwakilan Malaysia menghubungi mereka sekiranya berlaku kecemasan atau memerlukan bantuan.

ADS:D

“E-Konsular ini merupakan platform untuk kita memberitahu di mana keberadaan kita. Jadi, belum tiba masanya pihak kementerian untuk memohon kerajaan memandatorikan e-Konsular kepada semua orang.

“Tetapi kita nasihatkan dan kita galakkan supaya semua rakyat Malaysia yang ke luar negara ataupun yang berada di luar negara menetap di luar negara gunakanlah kemudahan ini agar kita dapat mudah berhubung dengan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut menyediakan aplikasi My World Alert sebagai salah satu saluran komunikasi pantas antara rakyat Malaysia di luar negara dengan kerajaan.

Katanya, aplikasi berkenaan membolehkan maklumat serta amaran penting disalurkan kepada rakyat Malaysia secara serta-merta sekiranya berlaku kecemasan.

“Aplikasi ini juga mempunyai fungsi komunikasi berasaskan lokasi melalui Global Positioning System ataupun GPS yang membolehkan rakyat Malaysia berhubung dengan pejabat perwakilan Malaysia yang berdekatan secara terus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN