Noorkhiriah nafi sakit, menghilang - Utusan Malaysia

Noorkhiriah nafi sakit, menghilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bukan menghilangkan diri, sebaliknya pelakon, Noorkhiriah, menjelaskan tindakannya memadam akaun media sosial adalah bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada kehidupan nyata dan keluarga.

Noorkhiriah atau Noorkhiriah Ahmad Shapie, 50, mendedahkan hasrat tersebut sebenarnya sudah lama dipendam sejak sedekad lalu ketika dia berada di tanah suci.

“Sebenarnya saya ada sahaja dan tidak ke mana-mana. Cuma pada tahun 2016 semasa berada di hadapan Kaabah, saya pernah berdoa kepada Allah bahawa jika boleh, saya tidak mahu lagi aktif di media sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah, selepas 10 tahun barulah doa itu termakbul. Saya bukannya menghilang, saya masih ada,” katanya ketika ditemui pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 di PICC, malam tadi.

Menepis spekulasi kononnya dia kini sedang menderita sakit, pelakon drama Seribu Tahun ini menegaskan dirinya berada dalam keadaan sihat walafiat.

“Alhamdulillah saya sihat. Kalaupun saya sakit, tolonglah doakan. Sebagai sesama Muslim, kita haruslah saling mendoakan yang baik-baik,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Noorkhiriah mengakui pada usia yang kini mencecah lima dekad mahu meluangkan lebih banyak waktu berkualiti bersama anak-anak yang masih memerlukan perhatian.

“Anak-anak masih kecil dan perlukan perhatian. Apabila terlalu sibuk dengan Instagram, kita boleh jadi leka. Bukanlah sampai mereka terabai, cuma pada fasa usia sekarang, saya mahu memperlahankan sedikit rentak kehidupan.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada rakan-rakan media yang pernah menghantar mesej sebelum ini. Saya tidak membalasnya waktu itu kerana belum ada jawapan yang sesuai untuk diberikan, selain tidak mahu memburukkan lagi keadaan dengan sebarang kenyataan,” tambahnya.

Walaupun sedar platform media sosial kini menjadi antara kriteria utama untuk mendapatkan tawaran lakonan, Noorkhiriah bagaimanapun tidak sedikit pun merasa bimbang mengenai kelangsungan kerjayanya.

Tegasnya, dia meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada rezeki yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Esa.

“Rezeki itu Allah yang pegang dan berikan. Kalau mereka (penerbit) mahu mencari saya, pasti ada jalannya. Saya percaya apabila satu pintu tertutup, sepuluh pintu lain akan terbuka,” katanya yang bakal kembali ke set penggambaran filem di bawah produksi Datuk Yusof Haslam, tidak lama lagi.

Dalam malam kemuncak ASA malam tadi, Noorkhiriah turut membawa pulang trofi Pelakon Wanita Drama TV Terbaik menerusi drama Seribu Tahun. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini