PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 kepada Datuk Seri Nazir Hussin dan Datuk Wira Mubarak Hussain Akhtar Husin bagi tujuan pengisytiharan harta pada 20 Oktober lalu.
Nazir telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk menerima notis tersebut manakala abangnya, Mubarak telah menerima notis tersebut di kediamannya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu berkata, kedua-dua individu terbabit telah akur menerima notis berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan Nazir memberi keterangan kira-kira dua jam di Ibu Pejabat SPRM pada 14 Oktober lalu.
Beliau dipanggil untuk menerima notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009, yang mewajibkan individu mengisytiharkan aset masing-masing.
Bagaimanapun, beliau enggan menerima notis dengan alasan sudah memfailkan permohonan injuksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sehari sebelumnya bagi menghalang pelaksanaan arahan mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Media pada 1 Oktober lalu melaporkan, dua ahli korporat adik-beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira direman lima hari bagi membantu siasatan kes disyaki bersubahat menyeleweng dan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan berjumlah kira-kira RM10 juta.
Difahamkan, siasatan awal mendapati, mereka disyaki bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama pada penghujung 2020.
Sumber dilaporkan berkata, SPRM turut menyita pelbagai aset dan barangan termasuk 15 kereta mewah serta 12 motosikal berkuasa tinggi dalam siasatan berkenaan.
Turut disita lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000. – UTUSAN











