National Graduate Career Fair 2026: 1,401 pencari kerja berjaya peroleh pekerjaan

National Graduate Career Fair 2026: 1,401 pencari kerja berjaya peroleh pekerjaan

ORANG ramai membanjiri National Graduate Career Fair 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 1,400 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan dan lulus saringan temu duga menerusi National Graduate Career Fair 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, calon yang berjaya peringkat temu duga secara terus menerima tawaran gaji mencecah sehingga RM8,000 sepanjang dua hari karnival berlangsung.

“Karnival dihadiri lebih 7,200 pencari kerja ini adalah antara pendekatan kerajaan untuk memperkukuh pasaran buruh negara dengan memastikan pertumbuhan peluang pekerjaan turut disokong sistem padanan tenaga kerja yang lebih cekap, responsif dan dinamik.

“Usaha KESUMA menerusi PERKESO ini turut selari agenda Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menangani isu ketidakpadanan kerjaya berkaitan kemahiran,” katanya.

Sementara itu, Janani Arifah, 23, yang merupakan antara peserta karnival menyifatkan program berkenaan sangat bermanfaat apabila beliau berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai Internal Communications, Culture And Engagement, Group Of Human Resource Management di Syarikat KPJ Healthcare Berhad.

Katanya, karnival kerjaya seperti ini sangat membantu graduan dan pencari kerja yang belum mendapat pekerjaan kerana mereka dapat berinteraksi dengan lebih ramai calon majikan pada satu-satu masa berbanding kaedah konvensional.

SEBAHAGIAN pencari kerja mendapatkan penerangan mengenai peluang pekerjaan pada National Graduate Career Fair 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Reaksi sama turut dikongsi Lee Jiang Hui, 21, yang hadir untuk mencuba nasib. Bagi graduan Diploma Pentadbiran Perniagaan, Universiti Tunku Abdul Rahman Pengurusan dan Teknologi (TAR UMT) itu, platform ini ruang terbaik untuk mendapatkan kerjaya idaman sekali gus mengasah kemahiran graduan untuk menjalani temu duga agar lebih bersedia.

Daripada perspektif majikan pula, karnival ini dilihat sebagai platform yang baik untuk mereka menemui bakat tempatan dengan lebih pantas dan cekap.

Majikan yang terlibat seperti IBM Malaysia Sdn Bhd memaklumkan, mereka menerima sambutan menggalakkan pada hari pertama karnival apabila seramai 93 calon mendaftar dan menghantar permohonan terus ke sistem syarikat.

“Daripada lapan calon yang ditemu duga di tempat kejadian, tiga calon lulus dan disyorkan untuk diambil bekerja, dua calon akan meneruskan temu duga kedua bagi penilaian bahasa dan kemahiran, manakala tiga calon lagi tidak disenarai pendek kerana latar belakang tidak sepadan dengan kemahiran yang diperlukan,” kata wakil majikan IBM Malaysia, Aimi Che Rahim, yang juga Selection Specialist, Global Delivery Network, APAC.

Untuk rekod, program ini mendapat penglibatan majikan utama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), manakala Malaysia Airports Holdings Berhad, Prasarana Malaysia Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) turut menyokong dengan menawarkan pekerjaan kepada pengunjung.

Peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor dan tahap kemahiran, termasuk maklumat dan komunikasi, kewangan, pembuatan, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal, pengangkutan dan penyimpanan serta kesihatan dan kerja sosial.

Lebih separuh atau 52.91 peratus daripada keseluruhan kekosongan menawarkan gaji melebihi RM3,000 sebulan, dengan jawatan Eksekutif Akaun bermula sekitar RM3,000 manakala jawatan tertentu seperti pengurus IT mencecah RM17,000 sebulan.

Peserta turut mendapatkan semakan resume profesional dan khidmat kaunseling kerjaya sepanjang program tersebut berlangsung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN