PETALING JAYA: Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dijangka bermula pada 27 Oktober ini dan berterusan sehingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan juga diramal berlaku antara November hingga Januari.
Katanya, episod hujan lebat itu berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berhampiran sungai dan kawasan rendah.
“Sepanjang MTL, angin lazimnya bertiup secara konsisten dari arah timur laut, manakala tiupan angin yang berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora serta risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan.
“Taburan hujan dijangka berkurangan menjelang fasa akhir MTL dari Januari hingga Mac 2027, terutama di negeri-negeri utara Semenanjung dan Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Hisham berkata, keadaan itu dijangka menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi mencetuskan gelombang haba lebih ekstrem berikutan pengaruh fenomena El Niño sangat kuat (Super) yang sedang berlaku.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya bersiap sedia menghadapi keadaan cuaca sepanjang MTL 2026/2027 dengan sentiasa peka terhadap maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MET Malaysia.
“Maklumat berkenaan boleh diperoleh menerusi laman web www.met.gov.my, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi serta talian hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638,” katanya.-UTUSAN











