PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanfaatkan teknologi, antaranya kecerdasan buatan (AI) dalam kerjasama strategik kedua-dua agensi.
Teknologi itu akan digunakan bagi membantu mengesan, mencegah dan mengurus risiko salah guna kuasa serta penyelewengan secara lebih sistematik.
Menurut MCMC, kerjasama itu merupakan antara perkara yang digariskan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua agensi tersebut, hari ini.
Katanya, MoU tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang penguatkuasaan, pencegahan rasuah dan pemerkasaan integriti, khususnya bagi menghadapi cabaran yang semakin kompleks dalam persekitaran digital.
“MoU ini menggariskan pendekatan rentas agensi yang lebih terselaras melalui perkongsian kepakaran dalam penguatkuasaan, penyiasatan, teknologi digital, pengurusan maklumat dan pencegahan rasuah, termasuk amalan terbaik berkaitan tadbir urus, integriti dan pengurusan risiko,” katanya dalam kenyataan.
Majlis pertukaran MoU di ibu pejabat MCMC melibatkan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman.
Kedua-dua agensi turut akan memperluas kerjasama dalam pembangunan pengetahuan dan kemahiran menerusi program advokasi, latihan, perkongsian ilmu serta pembangunan kapasiti.
Menurut MCMC, inisiatif berkaitan juga boleh diperluas kepada industri dan pemegang taruh.
“Usaha ini dijangka meningkatkan kesiapsiagaan kedua-dua agensi dalam menangani risiko rasuah dan salah laku yang semakin kompleks, di samping menyokong akauntabiliti serta penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, MCMC turut menegaskan komitmennya sebagai pemudah cara bagi memperluas kerjasama antara agensi ke arah budaya kerja yang lebih telus, beretika dan bertanggungjawab.
“Usaha itu bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat, industri dan pelabur terhadap institusi awam serta ekosistem komunikasi dan multimedia negara,” katanya. – UTUSAN











