Maritim tahan bot nelayan, lima kru warga Myanmar termasuk tekong - Utusan Malaysia

Maritim tahan bot nelayan, lima kru warga Myanmar termasuk tekong

LIMA nelayan termasuk tekong warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia selepas disyaki melanggar syarat sah lesen ketika menjalankan aktiviti perikanan pada kedudukan kira-kira 8.6 batu nautika barat daya Pulau Buluh dekat Lumut, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Sebuah bot nelayan tempatan (VNT) Kelas C yang disyaki melanggar syarat sah lesen ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama lima nelayan warga Myanmar termasuk seorang tekong, Sabtu lalu.

Bot dinaiki kru berusia 26 hingga 56 tahun itu ditahan pasukan penguatkuasa pada pukul 5 petang pada kedudukan kira-kira 8.6 batu nautika barat daya Pulau Buluh, di sini.

Pengarahnya, Kapten Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan dilakukan oleh aset Maritim Malaysia ketika melaksanakan operasi penguatkuasaan di sekitar perairan Selat Melaka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut yang dikendalikan lima kru warga Myanmar itu sedang menjalankan aktiviti perikanan di kawasan berkenaan.

“Semakan mendapati vesel tersebut disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan pada jarak kurang daripada 15 batu nautika dari pantai.

“Malah, pemeriksaan lanjut turut mendapati, tekong bersama dua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri manakala dua kru lain mengemukakan dokumen yang diragui kesahihannya,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan di atas vesel menemukan hasil tangkapan ikan seberat kira-kira 250 kilogram.

Katanya, kesemua kru ditahan bagi membantu siasatan manakala vesel, hasil tangkapan ikan dan peralatan menangkap ikan dirampas dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia menegaskan bahawa pematuhan terhadap undang-undang maritim, peraturan imigresen dan syarat lesen perikanan merupakan tanggungjawab setiap pengusaha dan pengendali.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang- undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan salah laku atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini