KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan kemasukan kira-kira 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2030 dalam usaha memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pilihan bagi melanjutkan pengajian tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, ketika ini terdapat kira-kira 170,000 pelajar antarabangsa dari 180 negara yang sedang mengikuti pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan.
Menurutnya, selain meningkatkan jumlah kemasukan, kementeriannya turut memberi tumpuan kepada kepelbagaian negara asal pelajar bagi memastikan Malaysia terus menjadi pilihan masyarakat antarabangsa.
“Seperti yang kita ketahui, sasaran keseluruhan sehingga tahun 2030 adalah sekitar 250,000 pelajar antarabangsa. Namun, perkara paling mustahak ialah kita mahu melihat taburan pelajar daripada pelbagai negara.
“Sekarang ini seramai 170,000 pelajar datang dari 180 negara. Jadi, kita cuba agihkan dari segi taburan pelajar yang datang,” katanya pada sidang akhbar sempena program International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Tambah Zambry, kehadiran pelajar daripada pelbagai negara bukan sahaja mencerminkan keyakinan terhadap sistem pendidikan tinggi Malaysia, malah membantu memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pengajian antarabangsa.
Selain itu, penganjuran iFUTURE yang menghimpunkan lebih 1,200 pemimpin pelajar dari 60 negara turut menjadi platform untuk memperkenalkan Malaysia serta membangunkan bakat kepimpinan generasi muda di peringkat antarabangsa.
“Kalau kita lihat pelbagai kegiatan ekonomi lain, kehadiran pelajar antarabangsa itu turut dapat menjana pendapatan kepada kumpulan tertentu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.
“Program berkenaan akan diteruskan sebagai antara program utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi melahirkan pemimpin muda yang mempunyai pemikiran global, selain mengukuhkan hubungan Malaysia dengan pelajar antarabangsa,” katanya.-UTUSAN











