SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), agensi ‘bongsu’ di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyambut ulang tahun keduanya hari ini.
Majlis sambutan disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman, manakala AKPS diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Ismail Mokhtar.
Ismail dalam ucapannya berkata, hala tuju AKPS kini lebih jelas daripada pemeriksaan rutin kepada pemeriksaan berasaskan risiko; daripada tindak balas kepada tindakan berasaskan risikan; dan daripada penguatkuasaan terpisah kepada operasi bersepadu.
“Kita mesti menilai sama ada ancaman berjaya dikesan, sindiket berjaya dipatahkan dan kelemahan yang dikenal pasti benar-benar ditutup,” katanya.
Katanya, nilai rampasan yang tinggi bukan satu-satunya ukuran kejayaan sebaliknya mengukur keberkesanan pencegahan, memperbaiki kelemahan prosedur, mengenalpasti rangkaian sindiket dan melindungi hasil negara.
“Kita bukan mahu sekadar merampas barang. Kita mahu menutup laluan, mengenal pasti pelaku dan mematahkan sistem yang membolehkan penyeludupan berulang,” katanya.
Pada majlis sama, AKPS turut melancarkan logo baharu AKPS, Buku Pelan Strategik AKPS dan Hologram AKPS yang menampilkan Qaseh sebagai perantara AI. – UTUSAN











