KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dengan kerjasama KPJ Healthcare, baru-baru ini menganjurkan Pertandingan Akhir Temasya Pantun Kaunseling dan Kesihatan Mental (TEPAKK) 2026 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) di Kuala Lumpur.
Mengangkat tema “Kesenian Penyembuh Jiwa”, TEPAKK 2026 memanfaatkan seni pantun sebagai pendekatan kreatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesihatan mental, di samping memelihara warisan budaya Melayu.
Program berkenaan merangkumi dua pertandingan utama, iaitu Pertandingan Berbalas Pantun antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari 23 hingga 26 Oktober 2026 dan Pertandingan Mencipta Pantun yang dibuka kepada masyarakat dari 1 hingga 30 Oktober lalu.
Menurut kenyataan penganjur, program tersebut dirasmikan Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti UIAM Prof. Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi KPJ Healthcare, Datuk Mohamad Farid.
Katanya, program tersebut membabitkan penyertaan 18 pasukan daripada sembilan institusi pengajian tinggi aitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
“Pertandingan ini menyediakan platform kepada mahasiswa untuk menyampaikan mesej berkaitan kesedaran kesihatan mental dan kesejahteraan diri melalui seni berbalas pantun”, ujarnya.
Katanya, program tersebut bertujuan menggalakkan penglibatan generasi muda dalam memelihara warisan budaya Melayu, di samping mengenali lebih mendalam tentang Sistem Kesihatan KPJ (KPJ Health System).
Dengan itu, kata kenyataan itu lagi kerjasama antara UIAM dan KPJ Healthcare menerusi TEPAKK 2026 mencerminkan usaha menghubungkan institusi pengajian tinggi dengan sektor penjagaan kesihatan dalam memperluas kesedaran kesihatan mental kepada masyarakat.
Pendekatan berteraskan budaya ini dapat menjadikan perbincangan tentang kesejahteraan mental lebih mudah dan santai, sambil memelihara seni pantun sebagai medium komunikasi yang bermakna.
Barisan juri pertandingan ialah personaliti televisyen dan penulis lirik Ahmad Fedtri Yahya; penulis lirik dan pensyarah Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) , Dr. Hairul Anuar Harun, serta penyanyi lagu tradisional dan penyair. Roslan Madun,
Melalui TEPAKK 2026, UIAM dan KPJ Healthcare bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental serta memelihara warisan seni pantun Melayu terutamanya dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat. – UTUSAN











