SHAH ALAM: Pelakon, Janna Nick, berkata dia mahu memberi fokus kepada kerja belakang tabir khususnya dalam bidang kepengarahan selepas menamatkan pengajiannya dalam jurusan Master of Arts in Filmmaking di United Kingdom (UK) dengan cemerlang.
Kongsi Janna, dia memang sengaja tidak berkongsi terlalu dalam mengenai proses pembelajaran di UK kerana bimbang akan penyakit ain, iaitu mata-mata cemburu yang mendoakan agar dia tidak berjaya.
“Saya tak mahu kongsi apa-apa fasal pengajian di sana bimbang kena penyakit ain.
“Walaupun saya selalu buat vlog kehidupan di sana, tetapi saya tak buat video tunjuk pergi belajar. Jika perkara itu yang saya terlalu inginkan, saya tidak akan buat content.
“Saya hanya buat content tentang perkara-perkara biasa dalam hidup,” katanya.
Janna ditemui semasa Hari Gabungan Kuasa, Meet & Greet AMT 2026 yang diadakan di MyKart Raceway, Shah Alam pada Ahad.
Bagaimanapun, Janna berkata dia akan kembali ke UK dalam masa terdekat untuk menghadiri majlis graduasi seterusnya bakal berkongsi video khas tentang proses pembelajaran sepanjang setahun di sana.
Ditanya mengenai misinya selepas ini, Janna berkata dia mahu bergelar seorang pengarah yang mampu menyampaikan cerita yang jarang dikongsikan mengenai golongan kanak-kanak.
“Saya sudah ada produksi sendiri tapi insya-Allah ada berita baik yang kita bakal kongsikan tahun depan iaitu sebuah projek besar. Penonton akan kurang nampak saya di kaca TV selepas ini sebab saya memang akan fokus pengarahan dan penerbitan.
“Visi saya sebagai seorang pengarah perempuan, saya memang ada cerita yang sangat bagus untuk dikongsikan. Saya nak cerita tentang trauma kanak-kanak yang boleh memberi manfaat kepada golongan yang tidak boleh berkata-kata.
“Macam kita tahu, anak-anak kecil tak boleh bersuara dan orang tak percaya mereka menyebabkab dia takut bersuara. Tanggungjawab saya untuk menyampaikan cerita mereka. Itu matlamat saya, “katanya.
Dalam masa sama, Janna tidak menolak sekiranya mempunyai kesempatan untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).
“Lepas dapat keputusan saya terus cari tempat mahu sambung PHD.
“Tak tahulah mungkin di Malaysia atau kalau ada rezeki lebih boleh sambung di luar negara,” katanya. -UTUSAN











