KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay tidak berkecil hati dengan tindakan Elizabeth Tan yang mengkritik mutu lakonannya sendiri menerusi filem Pemuja Syaitan.
Menurut Liyana, 38, dia memahami perasaan Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy yang merasakan dirinya mampu memberikan persembahan lebih baik dalam filem arahan pertamanya itu.
“Saya sudah bercakap dengannya dan bagi saya, dia sudah memberikan yang terbaik. Lizzy seorang pelakon yang bagus.
“Salah satu sebab saya memilihnya adalah kerana saya tahu dia mempunyai kemampuan tersebut. Saya langsung tidak marah atau kecewa dengan apa yang diluahkannya.
“Sebagai pelakon, saya juga pernah melalui perkara sama. Apabila menonton semula lakonan sendiri, pasti ada perasaan bahawa kita sebenarnya boleh melakukan yang lebih baik.
“Bagi saya, itu proses biasa yang dilalui oleh seseorang pelakon. Secara jujurnya, sebagai pengarah, saya sangat berpuas hati dengan lakonannya,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem itu, pada Rabu.
Tambah Liyana, sepanjang penggambaran, Elizabeth sering mendapatkan pandangannya bagi memastikan lakonan yang diberikan menepati kehendak pengarah.
“Sepanjang penggambaran, dia sering bertanya sama ada lakonannya sudah cukup baik dan saya sentiasa memberitahu bahawa dia sudah melakukan yang terbaik.
“Kalau saya tidak berpuas hati, saya akan berterus terang. Semua orang di lokasi penggambaran tahu perkara itu. Apabila saya sudah mengatakan sesuatu babak itu baik, bermakna lakonannya sudah menepati nada dan karakter yang saya mahukan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Liyana menyifatkan hubungan persahabatan serta jurang usia yang tidak begitu jauh antara mereka membolehkan Elizabeth lebih selesa meluahkan perasaan mengenai mutu lakonannya.
“Dia masih mengatakan bahawa dirinya boleh melakukan yang lebih baik. Saya beritahu perasaan itu normal dan tidak perlu terlalu memikirkannya. Mungkin dia lebih selesa meluahkan perkara itu kepada saya kerana kami sama-sama wanita dan jurang usia juga tidak begitu jauh.
“Kalau dahulu, ketika saya masih aktif berlakon, saya tidak pernah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap lakonan sendiri kepada pengarah kerana segan dan bimbang dimarahi.
“Tetapi hubungan saya dengan Lizzy berbeza. Kami berkawan dan dia sangat selesa untuk berkongsi apa yang dirasakannya,” ujarnya.
Sebelum ini, Elizabeth tampil meluahkan rasa kurang puas hati terhadap lakonannya menerusi filem pertama arahan Liyana tersebut kerana tidak mencapai tahap yang diharapkan. -UTUSAN











