Ramai ibu bapa risau apabila anak hanya mahu makan makanan ringan atau makanan segera seperti kentang goreng atau nuget berbanding lauk pauk biasa.
Tabiat memilih makanan adalah antara cabaran yang lazim dihadapi ibu bapa ketika anak berada pada peringkat awal kanak-kanak. Dianggarkan antara 25 hingga 66 peratus kanak-kanak kecil memilih makanan.
Pakar Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Ara Damansara, Dr. Sheena Davahran berkata, tabiat memilih makanan adalah sebahagian daripada perkembangan normal kanak-kanak dan tidak semestinya menunjukkan terdapat masalah terhadap pemakanan mereka.

“Tabiat memilih makanan biasanya mula kelihatan apabila kanak-kanak berusia antara 18 bulan hingga dua tahun. Pada usia ini, mereka sedang belajar untuk berdikari dan mula membuat pilihan sendiri. Makanan menjadi antara cara terawal untuk mereka menunjukkan kehendak, pilihan dan keinginan untuk mempunyai kawalan terhadap apa yang dilakukan,” katanya.
Katanya lagi, anak yang sebelum ini makan hampir semua makanan ketika mula diperkenalkan kepada makanan pejal juga boleh tiba-tiba menolak makanan yang pernah menjadi kegemaran mereka.
Bagi kebanyakan kanak-kanak, keadaan ini adalah sebahagian daripada perkembangan normal dan bukannya petanda bahawa sesuatu yang tidak kena sedang berlaku.
Apabila semakin membesar, khususnya selepas memasuki alam prasekolah dan sekolah rendah, kebanyakan kanak-kanak akan mula lebih terbuka untuk mencuba makanan yang berbeza.
“Mereka mungkin masih mempunyai makanan kegemaran, sama seperti orang dewasa tetapi pilihan makanan biasanya menjadi lebih pelbagai dari semasa ke semasa.
Bagi anak, menolak makanan juga boleh menjadi salah satu cara untuk menunjukkan bahawa mereka sudah mula mempunyai kehendak dan pilihan sendiri,” ujarnya.
Ganti makanan segera buatan sendiri
Tidak menghairankan apabila kanak-kanak lebih cenderung memilih makanan seperti nuget, kentang goreng dan makanan ringan yang diproses kerana makanan seperti ini lazimnya mempunyai kandungan garam dan tenaga yang lebih tinggi, selain mempunyai rasa serta tekstur yang lebih mudah diterima oleh kanak-kanak.
“Melarang makan makanan berkenaan sepenuhnya bukan semestinya pendekatan terbaik. Larangan yang terlalu ketat boleh menyebabkan anak semakin tertarik untuk mencubanya, terutama apabila mereka melihat adik-beradik atau rakan menikmatinya.
“Sebaliknya, ibu bapa boleh mengawal pengambilannya secara sederhana sambil memperkenalkan pilihan makanan yang lebih berkhasiat secara berperingkat,” katanya.
Katanya lagi, ibu bapa perlu membimbing anak dalam memilih makanan yang lebih sihat. Mereka boleh diperkenalkan kepada pilihan yang lebih sihat dan disediakan sendiri di rumah.
Sebagai contoh, nuget sejuk beku boleh digantikan dengan nuget ayam buatan sendiri, manakala kentang goreng boleh disediakan menggunakan kentang segar yang dibakar.
Jika anak mula bosan dengan ayam atau ikan, ibu bapa boleh menawarkannya sumber protein lain seperti telur, tauhu dan kekacang. Makanan yang sama juga boleh disediakan dalam bentuk atau kaedah masakan yang berbeza.
“Adakalanya, perubahan kecil pada rupa, tekstur atau cara penyediaan sudah cukup untuk membuatkan anak lebih bersedia mencubanya. Apa yang penting, jangan paksa anak makan,” katanya.
Makan bersama
Kanak-kanak banyak belajar melalui pemerhatian. Apabila seluruh keluarga duduk bersama dan menikmati hidangan yang sama, anak lebih mudah terdorong untuk mencuba makanan yang berbeza.
Sebaliknya, jika ibu bapa menggalakkan anak makan makanan sihat tetapi mereka sendiri kerap memilih makanan yang kurang berkhasiat, anak juga akan mencontohinya.
“Waktu makan bersama keluarga turut membantu anak belajar berdikari. Memberikan mereka pinggan, sudu dan peralatan makan sendiri boleh membuatkan mereka berasa lebih terlibat dan menjadi sebahagian daripada waktu makan bersama keluarga.
“Simpan telefon dan tablet ketika makan. Apabila anak makan sambil melihat telefon atau tablet, perhatian mereka mudah teralih daripada makanan. Mereka mungkin menghabiskan hidangan tetapi tidak benar-benar memberi perhatian kepada rasa, tekstur atau pengalaman menikmati makanan,” jelasnya.
Katanya lagi, makan bukan sekadar untuk mengenyangkan perut. Ia juga peluang untuk anak mengenali pelbagai rasa dan tekstur serta membina hubungan yang baik dengan makanan.
Tanda yang perlu diperhatikan
Walaupun memilih makanan lazimnya adalah sebahagian daripada perkembangan normal kanak-kanak, keadaan ini perlu diberi perhatian sekiranya mula menjejaskan tumbesaran, pemakanan atau perkembangan anak.
“Antara tanda yang perlu diperhatikan adalah berat badan atau tumbesaran anak tidak bertambah dengan baik. Selain itu, perhatikan tanda kekurangan vitamin atau zat makanan seperti anemia. Memberikan reaksi melampau terhadap makanan seperti tercekik, loya atau muntah dan hanya mengambil beberapa jenis makanan untuk tempoh yang panjang.
“Keadaan berkenaan mungkin menunjukkan masalah berkaitan deria, keengganan terhadap makanan atau gangguan pemakanan yang memerlukan penilaian lanjut,” katanya.
Jika ibu bapa tidak pasti sama ada tabiat pemakanan anak masih dalam lingkungan normal, dapatkan nasihat doktor lebih awal.
Pemeriksaan kesihatan secara berkala membolehkan tumbesaran, pemakanan dan perkembangan anak dipantau dengan lebih dekat, selain membantu mengenal pasti sebarang kebimbangan sebelum keadaan menjadi lebih serius. –UTUSAN









